Prof Dr Mazlin Dilantik Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Dan Inovasi Baru

JUMAAT, 17 JANUARI 2014 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Othman

BANGI, 16 Jan 2014 – Pengarah dan Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Prof Dr Mazlin Mokhtar dilantik Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk tempoh tiga tahun mulai hari ini.

Pelantikan itu disempurnakan di sini hari ini dalam satu majlis ringkas penyerahan dan penerimaan tugas oleh Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Prof Mazlin menggantikan Prof Dato’ Dr Rahmah Mohamed yang tamat tempoh tugasnya hari ini.

Prof Mazlin dalam ucapan penerimaannya berkata cabaran yang amat besar menanti UKM bersama beberapa buah universiti penyelidikan lain adalah kekurangan dana bantuan untuk penyelidikan daripada Kementrian Pendidikan.

Setiap institusi itu hanya akan menerima RM50 juta setahun, suatu pengurangan lebih daripada 50% berbanding dengan peruntukan RM110 juta tahun lalu.

Beliau bagaimanapun melahirkan keyakinan bahawa di bawah kepemimpinan Prof Noor Azlan, UKM akan mencari jalan bagi mencari dana tambahan melalui interaksi dengan universiti-universiti lain dan peningkatan penyertaan sektor swasta.

Sambil menyifatkan pemotongan bajet sebagai satu peluang untuk berinovasi, beliau berjanji untuk sedaya upaya membantu menampung kekurangan itu dan menyeru semua institut penyelidikan UKM melaksanakan penjimatan kos.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Dato’ Ir. Dr. Othman A Karim dan Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat).

Prof Mazlin adalah profesor Kimia Alam Sekitar berkhidmat dengan Fakulti Sains dan Teknologi sejak tahun 1997.

Beliau memopolehi Sarjana Muda Sains, BSc bagi Kimia dari University of Tasmania, Australia dan PhD (Analisis dan Kimia Alam Sekitar) daripada University of Queensland pada tahun 1988.

Beliau juga adalah ahli Senat UKM; Felo Institut Kimia Malaysia; Ahli Seumur Hidup dan bekas ahli jawatankuasa eksekutif (2005-2009) Perkongsian Air Malaysia (MyWP) yang dikaitkan dengan Perkongsian Air Global (GWP ).


Projek kumpulan penyelidikan Prof Mazlin mengenai Sistem Pengurusan Bahan kimia untuk Malaysia di bawah tajaan Kementerian Pengajian Tinggi telah dianugerahkan yang terbaik untuk kategori sains sosial dan kemanusiaan tahun 2006-2008 di peringkat kebangsaan.

Beliau telah dianugerahkan pelbagai pangkat felo dan profesor pelawat di IAEA – Monaco, UNRI – Indonesia, Kyoto University dan Universiti Rancangan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Jepun.

Prof Mazlin telah menerbitkan lebih 130 artikel dalam bidang kimia alam sekitar dan bidang yang berkaitan. Beliau adalah pengerusi pengasas Rangkaian Pengurusan Bersepadu Bahan Kimia dan Bahan Berbahaya Alam Sekitar dan Pembangunan Malaysia (MyNICHE ).

Beliau juga mempengerusikan Kumpulan Kerja Perkongsian mengenai biodiversiti dan pengurusan alam sekitar yang terdiri daripada BP (Malaysia), NRE, WWF, ISIS, British Council dan lain-lain sejak tahun 1999.

Beliau juga adalah ahli Jawatankuasa Penasihat Pusat Penyelidikan Kesihatan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan dan ahli Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan bagi Program Geran Kecil Rancangan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).