UKM Diminta Tawarkan Kursus Bahasa Melayu Di Uzbekistan

KHAMIS, 23 JANUARI 2014 14:28

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 21 Jan 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mungkin menganjurkan kursus Bahasa Melayu di universiti-universiti di Uzbekistan, sebuah republik di Asia Tengah.

Permintaan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Menengah Khas Uzbekistan, Botir Usmanov semasa melawat UKM hari ini.

Usmanov berkata universiti di negaranya berminat untuk melaksanakan pelbagai kursus bahasa untuk meluaskan lagi program pendidikan tinggi mereka.

Beliau berkata rakyat Uzbekistan perlu mempelajari bahasa-bahasa selain daripada bahasa Russia, Inggeris dan bahasa-bahasa Eropah lain kerana hubungan perdagangan dengan negara-negara Asia Tenggara semakin meningkat.

Usmanov mengetuai delegasi lapan anggota melawat UKM dan menemui Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah Rahmat. Usmanov diiringi oleh Duta republik itu ke Malaysia, Shukur Sabitov .

Ketika mengalu-alukan lawatan itu, Prof Dr Noor Azlan meramalkan kerjasama pendidikan antara kedua negara akan ditingkatkan, terutamanya dengan UKM.

Prof Ir Riza, semasa memberi taklimat kepada rombongan itu, juga melontarkan pandangan positif yang sama mengenai kemungkinan peranan UKM membantu universiti di Uzbekistan.

Turut hadir pada taklimat itu Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa, Prof Dr Imran Ho Abdullah, Dekan Fakulti Undang-Undang, Prof Dato’ Dr Aishah Bidin dan Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof Dr Maslina Darus.

Malaysia dan Uzbekistan telah menandatangani memorandum kerjasama antara kerajaan mengenai pendidikan.

Beberapa universiti di Uzbekistan, termasuk Akademi Perubatan Tashkent dan Universiti Teknikal Tashkent telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Perlis baru-baru ini .

Malaysia dan Uzbekistan menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1992 dan Putrajaya membuka kedutaannya di Tashkent pada tahun 1993. Sejak tahun 1992, Presiden Uzbekistan, Islam Karimov telah melakukan beberapa lawatan ke negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia.

Mereka juga telah memperkukuhkan hubungan ekonomi dan kerjasama pelaburan, minyak dan gas serta pelancongan.

Uzbekistan dengan bilangan penduduk berjumlah 30 juta bersempadan dengan Kazakhstan dan Laut Aral di utara dan barat laut, Turkmenistan di barat daya, Tajikistan di tenggara , dan Kyrgyzstan di timur laut.

Uzbekistan adalah salah sebuah daripada negara Asia Tengah yang terbesar dan satu-satunya yang bersempadan dengan kesemua empat negara lain yang menganggotai Soviet Union sebelum perpecahannya. Uzbekistan juga berkongsi sempadan yang singkat – kurang daripada 150 km – dengan Afghanistan di selatan.