UMT Mohon Bantuan UKM Untuk Meningkatkan Pendedahannya Di Media

JUMAAT, 31 JANUARI 2014 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto  Izwan Azman

BANGI, 29 Jan 2014 – Pusat Komunikasi Strategik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berharap dapat menerima tunjuk ajar daripada pengalaman Pusat Komunikasi Korporat (PKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam melaksanakan aktiviti perhubungan awam untuk meningkatkan imej institusi baru itu.

Pengarahnya Zukiferee Ibrahim berkata memandangkan UMT adalah baru berbanding UKM, ia perlu mewujudkan profil awam yang lebih tinggi melalui media.

Zukiferee memohon bantuan Pusat Komunikasi Korporat UKM (PKK) bagaimana ia boleh menarik perhatian lebih baik daripada media.

Beliau serta empat orang pegawainya hari ini melawat PKK di sini untuk berbincang mengenai usaha meningkatkan imejnya di kalangan media. Pengarah PKK, Prof Madya Dr Norzalita Abdul Aziz telah memberi taklimat mengenai penubuhan dan peranan PKK.

Zukiferee berkata oleh kerana UMT, yang ditubuhkan pada tahun 2007, terletak di kawasan pendalaman dekat Kuala Terengganu, ia jarang sekali mendapat perhatian sewajarnya daripada media sebagaimana institusi di Kuala Lumpur dan Selangor.

Namun demikian, beliau memberitahu bahawa sejak tahun 2013, UMT telah membuka pusat komunikasi strategiknya di Putrajaya semata-mata untuk membina imejnya di ibu negara di mana ia lebih mudah menghubungi media.

Dr Norzalita berkata PKK bersedia memberi nasihat mengenainya dan berharap semua universiti awam dapat membantu antara satu sama lain melalui perkongsian pintar dan bukannya bersaing untuk mendapatkan pendedahan dalam media.

Beliau mencadangkan UMT membina hubungan baik dengan pengurusan jabatan pengarang akhbar dan stesyen televisyen memandangkan ia sudah mempunyai pasukan perhubungan awam yang ditempatkan di Lembah Klang.

Timbalan Pengarah (Pentadbiran) PKK, Abd Razak Hussin pula menasihati Zukiferee untuk menubuhkan sebuah portal berita dwi-bahasa UMT supaya orang ramai dan media boleh dengan mudah dimaklumkan mengenai apa yang berlaku di kampusnya di Kuala Terengganu.

Zukiferee mengakui terdapat peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di UMT tetapi jarang mendapat liputan dan publisiti kerana universiti itu jauh dari tumpuan kuasa.

Pada masa ini, pejabat perhubungan awam UMT di Putrajaya adalah sangat kecil dengan hanya enam orang kakitangan termasuk seorang pemandu.

Zukiferee berkata seorang kakitangan terpaksa tinggal di pejabat untuk melaksanakan tugas di Putrajaya apabila beliau dan empat orang kakitangannya melawat PKK.

Beliau mengakui pihaknya perlu menambahkan pegawai perhubungan awam yang boleh bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris dengan baik.