Mahasiswa UKM Bergotong Royong Membersih Sebuah Kampung

JUMAAT, 04 JULAI 2014 16:22

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 30 Jun 2014 – Sekitar 50 orang pelajar sambilan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat (FSTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengambil bahagian dalam satu acara gotong-royong membersihkan Kampung Indah PKNS di Beranang baru-baru ini.

Mereka adalah dari kelas Mod Eksekutif Pusat Pembangunan Pelajar FTSM di mana khidmat masyarakat adalah sebahagian daripada modul baru program pembelajaran mereka.

Gotong royong itu adalah untuk membantu membersihkan kawasan sekitar kampung yang merbahaya kepada kesihatan bagi mengurangkan risiko demam denggi. Mereka adalah dari satu kelas yang diberi nama BIT 13.

Dekan FTSM, Prof Dr Abdullah bin Mohd Zin telah merasmikan acara itu.

Ketua program, Muhammad Nazmi bin Rahmat, salah seorang pelajar BIT 13 berkata acara ‘Tautan Kasih’ dengan penduduk Kampung Indah Beranang itu berfokus memupuk semangat kerjasama sesama mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat dengan memberi penekanan terhadap pemahaman dan kesedaran terhadap peranan dan tanggungjawab mereka dalam membantu meningkatkan kualiti hidup bermasyarakat.

Mereka memilih Kampung Indah Beranang kerana ia adalah antara kawasan yang mempunyai kes demam denggi tertinggi di Selangor hingga kerajaan Selangor menyeru rakyatnya berusaha membersihkan persekitaran dari sampah sarap untuk mengurangkan risiko dijangkiti denggi.

UKM juga sudah mempunyai sejarah dengan mayarakat kampung itu kerana pelajar UKM pernah mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada mereka.

“Kami telah memeriksa kesihatan mereka dan kini kami melakukan pembersihan supaya kesihatan penduduk kampung terjamin,” kata Nazmi.

Sebagai simbol persahabatan yang berterusan dan kerjasama antara BIT 13 dan Kampung Indah Beranang, mereka telah menanam sepohon pokok Kedondong untuk menandakan pertumbuhan dan kekuatan yang berterusan di antara mahasiswa UKM dan penduduk kampung itu.

Beliau berharap penduduk Kampung Indah dan pelajar BIT 13 dapat mempelajari dan menghargai kesihatan, kebersihan alam sekitar dan sifat tolong-menolong sesama sendiri.

Mahasiswa pula diharap dapat menghayati keindahan suasana kampung serta memastikan suasana demikian tidak akan luput dan hilang.

Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan cabutan bertuah turut diadakan dalam acara sepanjang program berlangsung.