Cabaran Pengajaran Undang-undang

JUMAAT, 06 JUN 2014 17:26

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 6 Jun 2014 – Semua pelajar undang-undang tanpa mengambil kira di mana mereka belajar perlu mencari satu pendekataan yang sama mengenai prinsip pelaksanaan undang-undang supaya bersedia menghadapi dunia sebenar.

Presiden Persatuan Sekolah Undang-undang Antarabangsa (IALS) Prof Francis S.L. Wong berkata cabaran yang dihadapi tenaga pengajar undang-undang ialah mencari asas yang sama terhadap apa yang disampaikan supaya pelajar boleh memahaminya maksud sebenarnya.

Berucap di majlis pembukaan Forum Tahunan ke-3 Dekan Undang-undang Asia Pasifik di sini minggu lalu beliau berkata semua pelajar undang-undang belajar di berlainan negara dengan gaya, kaedah pengajaran dan bahasa yang berbeza. Setiap negara pula mempunyai sistem politik, ekonomi, adat dan kepercayaan yang juga berbeza.

Bagaimanapun kedaulatan undang-undang akan sentiasa wujud di mana sahaja.

Forum Tahunan Dekan Undang-Undang Asia Pasifik ke-3 itu dianjurkan oleh Fakulti Undang-Undang UKM. IALS mempunyai 185 ahli dari lebih 50 negara dengan mewakili lebih 6,000 ahli fakulti di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali merasmikan forum itu yang turut dihadiri Dekan Fakulti Undang-undang, Prof Dato’ Dr Hj Aisyah Bidin.

Prof Wong berkata pengajar undang-undang tanpa menghirau di mana mereka mengajar perlu mempunyai persamaan dalam pendekatan mengajar subjek itu.

Mereka juga harus mencari elemen yang sama dalam undang-undang supaya pelajar dapat berkomunikasi antara satu sama lain.

Prof Wong berkata beliau tidak menyarankan undang-undang dan pengajaran diseragamkan di setiap negara tanpa menghiraukan agama atau adat. Tetapi apa yang beliau syorkan ialah perlunya ada persamaan dalam pendekatan terhadap pengajaran mengenai undang-undang.

Beliau percaya apa yang perlu diamalkan ialah undang-undang kekal berbeza dan pelbagai mengikut negara, adat dan agama, tetapi cara pelajar dan profesional undang-undang mendekati setiap undang-undang yang berasingan hendaklah berdasarkan asas perundangan yang sama.

Beliau menjelaskan bahawa semasa forum pertama tiga tahun lalu seorang kenalannya yang mengajar undang-undang keluarga Syariah memberitahu pelajar-pelajarnya, apabila berurusan dengan Undang-undang Syariah perlu mengambil pendekatan agama, melihat dan menggunakan pendekatan dari sudut atau pandangan agama.

Beliau tertarik dengan cara itu dan apa yang perlu dilakukan ialah memberitahu pelajar supaya menggunakan pendekataan undang-undang dengan apa saja situasi yang mereka akan hadapi apabila lulus dan memulakan kerjaya.

Beliau berkata kaedah itu adalah langkah pertama dalam mencari persamaan dalam pendidikan undang-undang bagi semua pelajar. Langkah seterusnya adalah dengan melibatkan pihak profesional dari industri perundangan, seperti badan kehakiman dan Majlis Peguam Profesional.

Ikatan antarabangsa dan global perlu dibina dan hubungan mestilah dibuat antara badan profesional undang-undang bagi membolehkan mereka memahami cabaran dan halangan yang dihadapi oleh para pensyarah undang-undang dalam menyediakan pelajar untuk menjadi sebahagian daripada sistem undang-undang sesebuah negara.

Badan Kehakiman dan badan profesional undang-undang harus tahu bahawa cabaran pensyarah dan profesor undang-undang ialah wujudnya pelbagai kekangan samada daripada kakitangan, belanjawan, kedudukan atau pun usaha mereka ditadbir oleh pihak ketiga bukannya oleh mereka sendiri, kata Prof Wong.

Beliau berkata sebagai badan profesional yang mengajar undang-undang mereka harus dibenar mentadbir sendiri bukannya seperti sekarang, hampir semua Fakulti Undang-Undang di seluruh dunia ditadbir oleh Badan Kehakiman, Kementerian Pelajaran dan Majlis Undang-Undang tempatan.

“Kami mempunyai sedikit input, tetapi tidak mempunyai suara sendiri. Kita perlu menjadi lebih proaktif dan membuat naratif kita sendiri. Kita tidak sepatutnya hanya menjadi reaktif kepada isu-isu tertentu apabila wujud. Kita perlu mendekati para ketua sekolah undang-undang di seluruh dunia untuk dibenar membangunkan naratif sendiri dan memilih kriteria pengajaran sendiri,” kata Prof Wong.