Hari Kemerdekaan Jordan Disambut di UKM

ISNIN, 09 JUN 2014 16:00

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Jun 2014 – Pelajar-pelajar Jordan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyambut 68 tahun kemerdekaan negara itu di Pusat Pengurusan Siswazah di sini akhir bulan lalu dengan disertai ramai rakan dari Malaysia.

Duta Besar Jordan ke Malaysia Anuar Ahmad Lukasha turut hadir untuk mengalukan hadirin dan berterima kasih kepada UKM kerana membolehkan pelajar asing meraikan hari kemerdekaan mereka sendiri di kampus.

Turut hadir Duta Besar Palestin Anwar Aadhar, beberapa orang anggota Parlimen Jordan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal.

Lukasha telah mengimbau secara ringkas perjuangan kemerdekaan Jordan yang bermula dengan pemberontakan dan peperangan hingga berjaya menubuhkan Jordan sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat pada 25 Mei 1946.

Jordan, katanya, telah dibina di atas titik peluh dan pengorbanan nenek moyang mereka yang turut dihargai setiap kali memperingati hari kemerdekaan mereka itu.

Beliau mengingatkan pelajar senegaranya untuk tidak melakukan apa-apa yang boleh menjejaskan nama baik Jordan tetapi terus belajar dengan tekun supaya lulus untuk kembali ke Jordan membantu membina negara mereka.

Majlis diserikan dengan persembahan tarian tradisional lelaki Jordan oleh pelajar-pelajarnya diikuti jamuan hidangan Timur Tengah.