Tindakan Afirmatif Tidak Memanfaatkan Golongan Sasar: Kata Ahli Antropologi Amerika

KHAMIS, 26 JUN 2014 09:19

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd. Raai Osman

BANGI, 25 Jun 2014 – Program tindakan afirmatif berniat baik dan mulia tetapi ia biasanya disalahgunakan oleh pihak tertentu hingga tidak memberi faedah kepada kumpulan sasarannya.

Ahli antropologi Prof Dr Jan N. Pieterse berkata sesetengah negara melaksanakan skim tindakan afirmatif untuk mengatasi ketidaksamaan sosial dengan mengurangkan kemiskinan tetapi programnya tidak mencapai matlamat yang diharapkan kerana faedahnya mengalir kepada segelintir mereka yang berpengaruh.

Beliau telah menyampaikan ceramah bertajuk Ketidaksamaan Sosial: Pendekatan Multi Sentrik di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini minggu lalu.

Prof Pieterse berkata program demikian tidak berjaya menghapuskan kedudukan ketidaksamaan sosial kerana masalah sebenarnya bukanlah kemiskinan tetapi sistem kelas sosio budaya, seperti gelaran dan kedudukan keistimewaan yang sukar diubah.

Tambahan pula, manfaat daripada tindakan afirmatif sering disalahgunakan dan tidak semestinya memberi faedah kepada penerima yang sah kerana wujudnya pilih kasih dan nepotisme.

Beliau telah mengkaji program afirmatif di India dan Afrika Selatan dengan melihat beberapa ketidaksamaan yang menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keberkesanannya.

Di India, katanya, terdapat banyak program afirmatif untuk rakyat dari kasta rendah yang mendapat pendidikan dan pekerjaan serta pinjaman untuk perniagaan. Tetapi program itu semakin dilihat sebagai usaha memberi keistimewaan hingga mengabaikan merit. Terdapat calon yang ditolak semata-mata kerana berasal dari kasta tinggi walaupun mereka sebenarnya miskin dan layak diterima secara merit. Ini telah menimbulkan perasaan membenci dan tidak puas hati.

Terdapat juga kes di mana orang dari kelas atasan yang miskin dan layak mendapat bantuan dari segi merit, tetapi mengakui mereka dari golongan kelas rendah. Ini telah menyebabkan orang kasta rendah rasa tertipu. Persepsi ini memberi kesan dalam arena politik.

Pengajarannya, kata Prof Pieterse, ialah kemiskinan dan ketidaksamaan sosial berbeda.

Di Afrika Selatan, beliau mendapati rasuah berleluasa kerana program yang dipanggil “Pemerkasaan Kulit Hitam” yang dilaksanakan selepas berakhirnya pemerintahan apartheid minoriti kulit putih pada tahun 1992 telah mewujudkan suatu kelas pengamal kronyisme terdiri dari puak suku kaum yang mempunyai hubungan dengan pemimpin Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) atau dengan Presiden republik itu sendiri. Masalah ini menyebabkan kebencian di kalangan orang kulit hitam sehingga menuduh Presiden Jacob Zuma sendiri menerima rasuah.

Ditanya mengenai Malaysia, Prof Pieterse berkata trendnya kelihatan hampir sama tetapi enggan mengulas lanjut kerana beliau masih mengkaji Dasar Ekonomi Baru. Beliau hanya sanggup berkata: “Dasar Ekonomi Baru tidak menghapuskan ketidaksamaan sosial”.

Beliau juga menerangkan bahawa di Amerika yang digelar sebagai “Impian Amerika” kekal sebagai suatu impian. Hakikatnya ramai yang kaya menjadi semakin kaya manakala golongan miskin menjadi lebih miskin.

Ini boleh dikesan dalam struktur asas masyarakat Amerika Syarikat, yang berpunca daripada ketidaksamaan yang wujud dalam kapitalisme Anglo-Saxon.

Beliau percaya kapitalisme Amerika mempunyai banyak kejanggalan hinggakan ia tidak boleh dijadikan contoh kepada negara-negara lain.

Walau bagaimanapun, Prof Pieterse percaya Globalisasi telah mengurangkan ketidaksamaan global.

“Pembasmian kemiskinan merupakan cabaran yang besar bagi masyarakat global. Walaupun semua bersetuju dengan matlamat pengurangan kemiskinan, dasarnya masih dipertikaikan atau tidak berkesan hingga kajian semula perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca masalahnya yang sebenar supaya penawar yang berkesan dapat disediakan.”

Jan Nederveen Pieterse adalah Profesor Mellichamp Pengajian Global dan Sosiologi di Universiti California, Santa Barbara dan merupakan seorang pakar bidang globalisasi, kajian pembangunan dan kajian budaya.

Beliau juga adalah profesor globalisasi di Universiti Maastricht di Belanda. Antara hasil karyanya terkini adalah: Is there hope for Uncle Sam? Beyond the American bubble (2008); Ethnicities and Global Multiculture: Pants for an Octopus (2007) dan Development Theory:Deconstructions/ Reconstructions (2001 edisi kedua  2009).