UKM Mengadakan Penyelidikan Lanjut Bersama Dua Rakan Untuk Mengeluarkan Biogas Di Tasik Chini

ISNIN, 30 JUN 2014 14:45

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 27 Jun 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mengadakan penyelidikan pengeluaran biogas di Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) dengan Bio Energie Verbund E.V. dari Jerman dan Persatuan Biogas Malaysia.

Satu Perjanjian Kerjasama Penyelidikan demikian telah ditandatangani di sini hari ini antara ketiga rakan kongsi itu untuk membangunkan kaedah mengeksploitasi sisa buangan yang didapati dengan banyaknya di Tasik Chini dan sekitarnya.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat menandatangani perjanjian itu bagi pihak UKM bersama Presiden Bio Energie Verbund Olaf Luschnig dan Presiden Persatuan Biogas Malaysia William Tan.

Di bawah skim geran penyelidikan jangka panjang dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada tahun 2011, PPTC telah mendapati Tasik Chini mempunyai rizab biojisim organik dan bahan buangan yang boleh digunakan untuk menghasilkan biogas.

Sejak itu, PPTC telah mencari rakan untuk melakukan kajian susulan dan mendapati Bio Energie Verbund dan Persatuan Biogas Malaysia bersedia untuk membantunya dalam usaha itu.

Tasik Chini, sebuah laman status Rizab Biosfera UNESCO di Malaysia, meliputi kawasan seluas 5,000 hektar di mana terdapat sisa organik yang banyak, kebanyakannya cecair sisa buangan kelapa sawit daripada kilang pemprosesan berdekatan, sisa makanan haiwan serta serpihan dan buangan dari pembalakan. Bahan-bahan itu berpotensi menjadi bahan-bahan mentah yang boleh diproseskan untuk mengeluarkan biogas secara ekonomik.

Bio Energie Verbund E.V. ialah persatuan gabungan industri kecil yang diberi subsidi oleh Kementerian Ekonomi Jerman untuk menyelaraskan semua penggunaan biojisim dan menggalakkan orang ramai menggunakan biogas.

Luschnig berkata apabila agensi itu ditubuhkan pada tahun 1998 tidak ramai yang berminat menggunakan sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Bagaimanapun ia berjaya menarik perhatian 98 firma kecil yang bersetuju menyertainya untuk menyediakan pengeluaran tenaga alternatif itu.

Beliau berkata kelembapan pasaran panel tenaga solar Jerman baru-baru ini kerana import murahan dari China telah menjadikan  biogas sebagai pilihan yang lebih berdaya maju. Biogas amat penting di negara itu kerana ia kini menghasilkan 21% daripada tenaga elektrik di Jerman melalui 18,000 loji biogas.

Persatuan Biogas Malaysia adalah sebuah persatuan yang memperkenalkan kaedah lestari pelupusan sampah dengan menggunakan teknologi pencernaan anaerobik untuk mencapai sisa sifar dengan menghasilkan tenaga boleh diperbaharui dan juga baja.

Tan berkata, tidak seperti bahan api berasaskan fosil, biogas boleh digunakan berulang kali dan ia adalah matlamat ketiga-tiga rakan perjanjian itu.