Loji Tenaga Nuklear Terapung Untuk Malaysia?

SELASA, 18 MAC 2014 12:22

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 17 Mac 2014 – Sebuah loji reaktor nuklear terapung bagi Malaysia? Itulah cadangan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar kepada saintis nuklear tempatan.

Berucap merasmikan kursus lima hari mengenai Reka Bentuk dan Pengurusan Nuklear Antarabangsa di sini hari ini, Prof Mazlin menggesa mereka menyesuaikan reka bentuk loji nuklear dengan mengambil kira bencana alam yang biasa dialami dalam negara seperti banjir, tanah runtuh dan gegaran bumi .

Kursus itu dianjurkan bersama oleh UKM dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dengan ditaja bersama oleh Hitachi General Electric dan Institut Teknologi Tokyo (Tokyo Tech).

Prof Mazlin berkata walaupun Malaysia tidak berada dalam zon gempa bumi, ia mencatat aktiviti seismik apabila negara-negara jiran dilanda malapetaka itu.

Mantan Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM itu berkata program nuklear di negara ini perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kemalangan nuklear di tapak dan bertindak mengurangkan kesan selepasnya.

“Saya sering menasihatkan pelajar saya untuk mengambil kira jenis bencana apabila mereka diminta merancang loji nuklear. Mungkin loji nuklear terapung? Misalnya lapangan terbang Kansai (berhampiran Osaka, Jepun) adalah sebuah lapangan terbang terapung. Kita mesti bersedia untuk perubahan,” tambah beliau.

Prof Mazlin menjelaskan bahawa sejak mengalami gempa bumi Fukushima pada Mac tahun 2011 di Jepun, beliau sentiasa menekankan keselamatan dalam hal kelestarian.

“Saya masih ingat ketika gempa bumi berlaku yang membawa bencana nuklear kepada Fukushima hampir tepat tiga tahun lalu. Saya berada di United Nations University di Tokyo, di tingkat 5 dan baru sahaja selesai memberi kuliah. Kami diiringi keluar bangunan. Gegarannya masih dirasai walaupun selepas empat lima hari,” katanya.

Beliau kagum dengan orang Jepun kerana daya tahan dan disiplin mereka walaupun bencana loji Fukushima berlaku kira-kira 300km dari Tokyo. Tambahan pula, beliau menginap di tingkat 28 hotel berhampiran dan ia kekal selamat.

Prof Mazlin merayu perangka dasar dan ahli sains supaya lebih prihatin kepada kebajikan rakyat apabila memilih sesuatu tapak untuk pembinaan reaktor nuklear.

Pihak berkuasa harus memberi jaminan kepada masyarakat tempatan berhampiran tapak loji mengenai keselamatan di kawasan itu kerana kehidupan mereka akan berubah buat selama-lamanya.

“Kita mesti menghormati masyarakat Malaysia. Berunding dengan komuniti, yang sekarang begitu arif dan berpengetahuan luas. Oleh itu, kita mesti menghormati mereka. Jadi apabila membuat rancangan untuk mendirikan loji kuasa nuklear yang agak kontroversi kita mesti telus,” katanya.

Prof Mazlin berkata apabila Malaysia menggunakan kuasa nuklear, kita juga perlu mematuhi konvensyen antarabangsa dengan pemiawaian yang sangat tinggi bagi keselamatan dan pemantauan.

Seramai kira-kira 50 orang saintis nuklear daripada UKM, UNITEN dan Jepun menyertai kursus yang dilangsungkan setiap dua tahun dengan institusi-institusi terlibat bergilir-gilir menjadi tuan rumah.