Pelajar Multimedia Digesa Memohon Pinjaman Untuk Terbitkan Filem Animasi

SELASA, 11 MAC 2014 14:12

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 Mar 2014 – Usahawan pelajar yang ingin menerbitkan filem animasi digesa merebut peluang pinjaman dari Tabung Usahawan Siswazah sejumlah RM16 juta yang telah disediakan.

Ini adalah daripada tabung sejumlah RM50juta yang telah diperuntukan kerajaan apabila dilancarkan pada awal tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Hj Ahmad Maslan berkata siswazah multimedia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan universiti lain boleh memohon dari bahagian Multimedia Kreatif Bank SME.

Ketika melancarkan Pertandingan Multimedia Kreatif anjuran mahasiswa Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) UKM, Ahmad Maslan berkata mereka yang berumur bawah 40 tahun layak memohon sehingga RM500,000. Mereka hanya perlu meyakinkan bank bahawa model perniagaan mereka berdaya maju.

Beliau berkata hiburan multimedia boleh menghasilkan pendapatan lumayan jika isi kandungannya serta jalan ceritanya boleh menarik minat penonton antarabangsa.

Beliau kecewa kerana selain daripada filem animasi tempatan seperti ‘Upin’ dan ‘Ipin’ yang diminati di tanah air dan Indonesia, tiada terbitan multimedia tempatan yang dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Malahan, kata Ahmad Maslan, animasi tempatan yang dapat ditonton di saluran satelit Malaysia pun amat berkurangan atau belum setanding dengan terbitan import.

Malaysia, katanya, harus boleh mengeluarkan barangan kreatif dengan harga berpatutan dan berharap Pertandingan Multimedia Kreatif yang bermula hari ini dapat mencungkil bakat animasi multimedia di kalangan peserta-peserta dari 11 institusi pengajian tinggi awam yang mengambil bahagian. Pertandingan itu berakhir Ahad (Mac 9) ini.

Selain dari UKM, universiti yang mengambil bahagian termasuk Universiti Malaya (UM),  Universiti Tenaga (UNITEN), Universiti College Bestari (UCB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).

Pertandingan itu ditaja Yayasan Amanah Perdana Malaysia, Digital Malaysia dan Koridor Raya Multimedia.

Turut hadir di perasmian adalah Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Prof Dr Abdullah Mohd Zain dan Ketua Eksekutif Yayasan Amanah Perdana Malaysia Hajjah Nor Baini Masri.