Venezuela Meningkatkan Hubungan Perdagangan Dengan Asia Timur Termasuk Malaysia

SELASA, 04 MAC 2014 07:58

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 27 Feb 2014 – Perdagangan Venezuela dengan Asia Timur, termasuk Malaysia, meningkat lebih cepat berbanding dengan Amerika Syarikat atau Eropah.

Ini adalah kerana Venezuela menetapkan dasar yang memberi perhatian yang lebih kepada Asia Timur sebagai rantau pertumbuhan ekonomi yang paling ketara, kata Duta Venezuela ke Malaysia Manuel Antonio Guzman Hernandez.

Beliau telah menyampaikan wacana mengenai Kerjasama Selatan -Selatan dari pandangan Venezuela, di Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM) hari ini. Hernandez berkata pelbagai pautan komersial telah ditubuhkan dengan Asia Timur sejak mendiang Hugo Chavez menjadi presiden pada tahun 1990an .

Wacana itu dianjurkan oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa dan Kedutaan Venezuela di Kuala Lumpur.

Sambil menyifatkan hubungan perdagangan dengan China dan negara-negara ASEAN sebagai amat menggalakkan, Hernandez berkata Venezuela telah merintis jalan ke Asia dan membuka peluang untuk negara-negara Amerika Latin lain turut memberi perhatian kepada rantau ini.

Beliau berkata Chavez telah menjangka bahawa negara-negara Asia Timur akan berlaku adil dan saksama dalam perdagangan tanpa mempolitikkan hubungan demikian.

Hubungan perdagangan dengan Asia terus maju apabila Presiden Nicolás Maduro mengambil alih daripada Chavez tahun lepas.

Hernandez berkata terdapat pelbagai projek bersama antara Venezuela dan Malaysia termasuk penerokaan petroleum oleh Petronas di Venezuela, penanaman kelapa sawit dengan syarikat Golden Hope dan bantuan Malaysia dalam perancangan bandar.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Kedutaan Venezuela Enrique Gonzalez Kong dalam syarahannya berkata China adalah rakan perdagangan paling penting Venezuela, yang mana perdagangan antara kedua-dua negara telah meningkat sebanyak 300 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Kong berkata Presiden Chavez mempunyai wawasan dan menyedari China akan menjadi kuasa yang semakin meningkat di seluruh dunia sedangkan kebanyakan negeri Amerika Latin lebih suka pandang ke arah Amerika dan Eropah.

Presiden Chavez telah melawat Malaysia pada kali pertamanya tahun 1999 dan sekali lagi dalam bulan Ogos 2006 untuk membincangkan pelaburan dalam industri minyak kelapa sawit oleh Malaysia dan untuk mempelbagaikan industri tenaga Venezuela.

Malaysia dan Venezuela, keduanya negara pengeluar minyak, telah menandatangani perjanjian mengelakkan cukai dua kali pada tahun 2006 apabila Chavez melawat Kuala Lumpur untuk kali kedua.