Amal Jariah Rahsia Disebalik Kejayaan Usahawan

RABU, 07 MEI 2014 09:32

Oleh Shahfizal Musa
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 2 Mei 2014 – Rahsia disebalik kejayaan dua orang usahawan hingga mampu mengharungi krisis ekonomi dan pelbagai cabaran adalah bersedia melakukan amal jariah.

Dua orang jutawan, Saiful Nang dari Saiful Nang Academy dan Dato’ Capt Jaffar Lamri Ketua Pegawai Ekskutif CME Group berkata demikian ketika memberi ceramah keusahawanan kepada lebih 3000 orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Jaffar adalah seorang kapten kapal dan telah bekerja dengan sebuah syarikat Fortune 500 sebelum memilih untuk berkecimpung dalam perniagaannya sendiri apabila membeli sebuah syarikat perkapalan yang tenat.

Beliau kemudiannya berjaya menerajui syarikat itu hinga menghasilkan keuntungan berjuta ringgit dalam tempoh setahun sahaja.

Jaafar berkata amal jariah tidak harus dijadikan suatu perkara yang dilakukan ketika telah kaya sahaja tetapi perlu diamalkan seawal mungkin.

Beliau telah membandingkan kerjayanya sebagai seorang pekerja yang makan gaji dan kemudiannya menjadi seorang usahawan.

“Sebagai seorang pekerja sebaik mana sekali pun prestasinya, sumbangannya kepada masyarakat adalah terbatas. Kemungkinan besar pekerja itu akan lebih tertumpu kepada diri dan keluarganya sendiri. Mindanya akan diselubungi dengan kerisauan untuk memastikan makanan dan pakaian yang cukup serta menentukan anak-anak akan mendapat pelajaran yang terbaik.”

Ini berbanding dengan kehidupan seorang usahawan yang berjaya. “Seorang usahawan yang berjaya akan benar–benar merdeka. Ini membolehkannya memikirkan kebajikan orang lain selain boleh memperjuangkan isu yang dianggapnya penting.”

Beliau menggalakkan pelajar menggunakan masa mereka di UKM untuk menimba ilmu dan mengasah kemahiran agar mereka tidak perlu bergantung kepada pekerjaan sebaliknya tahu menjana pendapatan sendiri apabila telah memiliki ijazah.

Jaffar turut mengamalkan konsep beramal jariah dalam syarikatnya sendiri. Beliau memberi imbuhan kepada pengurus projek serta kakitangannya yang menjadi penggerak utama syarikat.

Yang menariknya beliau tidak memilih mereka yang berprestasi cemerlang sahaja tetapi mengambil pekerja yang kurang berprestasi dan mendidik mereka sehingga boleh menjadi pengurus yang berjaya. Mereka itu juga diberi peluang menjadi rakan kongsinya.

Saiful Nang pula adalah seorang jurufoto terkenal. Beliau berasal dari keluarga miskin tetapi kini menjadi Jurufoto kepada kerabat diraja dan orang-orang terkenal.

Semasa kecil beliau menghidap disleksia dan hanya mampu bercakap dan membaca pada usia 7 tahun. Kerana keadaannya itu beliau tidak dapat bergaul dengan kanak-kanak lain yang dianggap cerdik atau normal. Dia dilabel sebagai seorang kanak-kanak ‘bodoh’ di kampungnya.

Walaupun tidak dapat menyertai kanak-kanak lain bermain beliau menganggapnya sebagai suatu rahmat kerana dapat memerhatikan gelagat mereka itu.

“Saya dengan itu telah mengetahui kesukaan dan masalah mereka.” Berbekalkan pengetahuan itu, Saiful telah membina sebuah mini zoo dengan membina sebuah bilik rahsia di bawah tanah dan telah mengenakan bayaran kepada mereka yang ingin melawat.

“Itu yang saya tidak boleh lupakan. Jika kanak-kanak lain begitu pandai kenapa mereka perlu membayar kanak-kanak seperti saya untuk berseronok?”

Semenjak itu beliau telah menggunakan kreativitinya untuk menjana pendapatan sehingga ke hari ini.

Saiful turut menawarkan penyelesaian kepada masalah yang membantutkan hasrat belia yang ingin menjadi usahawan kerana ketiadaan modal.

Baginya masalah itu wujud kerana persepsi. Terdapat ramai usahawan yang tidak suka berkongsi, mereka rela memakan sebuah kek kecil yang mereka tidak perlu berkongsi dengan orang lain. Sebaliknya sekiranya mereka bekerjasama, mereka dapat menikmati hasil yang lebih besar.

Saiful berkata untuk menjadi usahawan berjaya seseorang perlu tahu bahawa keusahawanan bukanlah hanya untuk mengumpul kekayaan tetapi ia adalah untuk menjadikan orang lain sama berada seperti usahawan itu.

Masalah dana akan selesai dengan sendiri sekiranya seseorang itu dapat meyakinkan orang lain yang mereka juga akan mendapat manfaat.

Ini adalah konsep perkongsian pintar, yang juga menjadi asas kepada konsep Waqaf dalam Islam.

Saiful mengamalkan konsep ini dengan rakannya bagi menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Rumah Pengasih Warga Prihatin sebuah rumah anak yatim di Kajang.

Penyelaras Pusat Pembangunan Keusahawanan dan IKS, Dr Ibrahim Mohamed, pensyarah dan pelajar turut hadir di ceramah itu.