Pelajar Pertukaran Antarabangsa Dirai

ISNIN, 26 MEI 2014 08:44

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 16 Mei 2014 – Pelajar pertukaran antarabangsa dari enam buah negara yang akan tamat tempoh pelajaran dalam pelbagai kursus pilihan mereka di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diundang untuk kembali melanjutkan pelajaran pasca ijazah mereka di UKM.

Mereka terdiri dari sejumlah 43 orang pelajar dari Belanda, Brunei, Negeri Thai, Jepun, Jerman dan Kazakhstan telah diraikan oleh Pusat Hubungan Antarabangsa (PHA) di Danau UKM di sini hari ini.

Turut hadir ialah semua penyelia dan warga UKM yang bertanggungjawab terhadap mereka selama belajar di sini.

Tempoh program selama tiga bulan belajar di beberapa fakulti di sini akan berakhir beberapa minggu lagi apabila memasuki cuti semester.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali ketika mengalukan kehadiran mereka di UKM berkata program pertukaran itu dapat meluaskan pemikiran serta memberi peluang kepada mereka melihat dunia melalui mata budaya orang lain.

Itulah sebabnya kenapa banyak institusi pengajian tinggi di seluruh dunia menggalakkan program pertukaran pelajar demikian.

Prof Noor Azlan telah menghuraikan secara ringkas sejarah penubuhan UKM yang diusahakan atas kehendak dan aspirasi rakyat Tanah Melayu setelah mencapai kemerdekaan.

“UKM telah dibina di atas kepercayaan bahawa rakyat perlukan sebuah universiti yang boleh memenuhi matlamat, aspirasi dan keperluan rakyat selain dapat mencerminkan kekuatan, semangat dan identiti mereka”.

Orang Melayu telah menyumbang wang mereka dengan kaum wanita menjual barang kemas dan sesetengah orang lain menjual tanah untuk membantu mengumpul wang untuk mendirikan UKM. UKM adalah sebuah institusi yang di bina oleh rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat, kata Prof Noor Azlan.

Beliau berharap agar pelajar antarabangsa banyak mengumpul kenangan manis semasa di UKM dan Malaysia serta dapat mempelajari banyak perkara selama berada di sini.

Timothy Holten, seorang pelajar dari Belanda, telah berkongsi pengalamannya di UKM dan Malaysia. Mereka diberi dua pilihan untuk menyertai program itu samada di UKM atau Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Beliau telah memilih UKM kerana ia lebih dekat dengan Kuala Lumpur di mana beliau pernah tinggal beberapa tahun lalu.

Timothy menerangkan pengalamannya dalam kelas dan berinteraksi dengan pelajar Malaysia serta perbedaan cara bercakap berbanding dengan pelajar antarabangsa, terutamanya dari negara-negara Eropah.

Pelajar Malaysia, katanya, adalah lebih tertib, malu dan bersopan. Terdapat pula sempadan dari segi fizikal apabila bercakap, terutamanya antara pelajar lelaki dan perempuan.

Mereka juga tidak bercakap kasar dan melulu tetapi lebih berjaga-jaga, beradab dan tidak menyinggung perasaan orang lain. Ini telah memaksa mereka menyesuaikan diri dengan budaya di sini, katanya.

Juwairiyah Sariffuddin seorang pelajar dari Brunei juga menceritakan pengalamannya semasa tinggal di UKM. Walaupun Malaysia tidak asing bagi Brunei tetapi masih wujud banyak perbedaan antara mereka.

Beliau telah menjalinkan persahabatan baru daripada pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama semasa beliau berada di UKM. Latar belakang pelbagai budaya dan bangsa Malaysia membolehkan semua orang untuk dapat hidup dan berinteraksi bersama.

UKM, katanya, telah membolehkannya belajar banyak perkara baru bukan sahaja di dewan kuliah tetapi dalam setiap interaksi sehariannya dengan kakitangan dan pelajar UKM.

“Saya dapat menimba ilmu dan pengalaman hidup dan juga belajar tentang diri saya. Ia telah membuat saya lebih berdikari dan matang walaupun hanya berada selama tiga bulan sahaja di sini. Ia merupakan satu pengalaman yang indah dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan UKM yang telah menjaga dan menyelia kami sepanjang program pertukaran ini,” kata Juwairiyah.