Malaysia Perlu Menerajui Bidang Teknologi Angkasa

JUMAAT, 24 OKTOBER 2014 12:41

Oleh Shahfizal Musa
Foto Izwan Azman & Ikhwan Hashim

BANGI, 21 Oktober 2014 – Malaysia harus berusaha untuk menerajui bidang teknologi agar dapat menentukan masa depannya dengan cara tersendiri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri berucap di Hari Angkasa UKM berkata, Malaysia perlu pergi lebih jauh dari hanya mengikuti perjalanan ke angkasa lepas.

Malaysia, katanya tidak boleh leka dengan hanya menjadi penumpang dalam apa sahaja yang dilakukan. Ini bermakna ia tidak harus membenar ia dipandu oleh orang lain yang menentukan halatuju dan tahap keterlibatannya.

Hari Angkasa itu diadakan untuk memberi pendedahan kepada belia mengenai peluang di dalam bidang angkasa lepas.

Pelbagai aktiviti dijalankan dengan melibatkan empat orang angkasawan untuk meningkatkan kesedaran terhadap bidang pengajian angkasa.

Mereka terdiri dari angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie, Dr Chiaki Mukai angkasawan wanita Jepun yang pertama, Klaus Dietrich angkasawan Jerman dan Shalizan Sharipov angkasawan Rusia.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk sesi dialog antara pelajar dan angkasawan, bengkel roket, simulasi penerbangan dan pameran.

Bercakap kepada pelajar dari seluruh negara, Dr Mahathir berkata titik permulaan bagi menentukan nasib kita sendiri adalah dengan ilmu dan kini kebanyakan ilmu datang dari dunia barat.

Beliau berkata pengetahuan dalam ilmu sains dan matematik adalah kunci kepada bidang angkasa lepas. Tanpa ilmu matematik yang tinggi tidak mungkin kapal angkasa boleh dipastikan mendarat tepat pada masa yang ditentukan.

Beliau percaya kemahiran dalam bahasa inggeris juga penting. Ini kerana kebanyakan penemuan dan ilmu baru adalah dalam bahasa itu dan rakyat Malaysia tidak boleh menunggu untuk ilmu itu diterjemahkan dalam bahasa yang kita faham kerana kita akan ketinggalan.

Dalam sidang akhbar selepas perasmian itu Dr Mahathir telah ditanya mengenai kritikan yang mengatakan usaha ke angkasa hanyalah suatu pembaziran.

Beliau menjawab sambil mengisyaratkan tangannya kepada Sheikh Muzaphar, “Sebenarnya beliau telah ke angkasa lepas secara percuma, kita tak bayar apa-apa pun, ia adalah hasil dari pembelian kapal terbang pengempur Sukhoi Rusia,”

Angkasawan Malaysia itu, katanya, tidak pergi makan angin tetapi telah membawa sel-sel kanser dan mikrob untuk tujuan penyelidikan; tetapi ramai tidak faham mengenainya.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali serta pegawai-pegawai kanan universiti dan pelajar turut hadir.