Mengimbau Kenangan Graduan Sulung UKM

ISNIN, 27 OKTOBER 2014 12:24

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 21 Oktober 2014 – Graduan sulung Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang tamat pengajian mereka pada 1973 diketemukan kembali dalam suatu Majlis ‘Mengimbau Kenangan Graduan Sulung UKM’ di hotel Puri Pujangga di sini hari ini.

Perjumpaan itu adalah untuk menghargai graduan sulung UKM yang telah memberi sumbangan tidak ternilai kepada negara.

Walaupun hanya 44 orang dari sejumlah 167 orang yang merupakan graduan sulung telah hadir ia telah melahirkan perasaan kegembiraan di kalangan mereka mengenang kembali kisah-kisah selama berada di UKM kira-kira 40 tahun lalu.

Kebanyakan di antara mereka telah pun mencecah 60an dan terdiri dari segenap pelusuk masyarakat termasuk professor, ahli lembaga pengarah, bekas ahli politik serta guru bersara.

Di sebalik wajah bersahaja di antara lelaki dan perempuan yang hadir itu terdapat ramai yang telah berbakti kepada negara. Mereka adalah pendaulat amanah negara yang pertama yang dikeluarkan oleh UKM.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata beliau amat bertuah dapat hadir di kalangan tokoh-tokoh alumni sulung UKM itu.

UKM, katanya, hendak memastikan penglibatan ahli alumninya agar ia boleh bergerak maju dengan lebih jauh lagi.

Penglibatan alumni merupakan amalan universiti-universiti ulung dan ternama seperti Cambridge, Oxford, Harvard, Virginia dan beberapa universiti terbilang lain.

Beliau berterima kasih dengan Pusat Pembangunan Pelajar dan Perhubungan Alumni kerana mengambil inisiatif mengaturkan perjumpaan itu.

Timbalan- Timbalan Naib Canselor, Dekan-dekan fakulti dan Pengarah PMPA Professor  Madya Dr Roslee Rajikan turut hadir di perjumpaan itu.