Produktiviti Penting Untuk Menjadi Sebuah Negara Maju

SELASA, 28 OKTOBER 2014 11:20

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

GONG BADAK, TERENGGANU, 19 Oktober 2014 – Malaysia perlu meningkatkan produktiviti dan tidak hanya tertumpu kepada hasrat mahu menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi selepas tahun 2020.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Profesor Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, apa yang akan berlaku selepas 2020 adalah lebih penting kerana ia masih belum mencapai status maju setelah lebih dari 30 tahun tersekat pada status negara berpendapatan sederhana.

Ketika menyampaikan ucaptamanya pada hari terakhir Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM) Ke-9 2014 di sini hari ini, beliau berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terlalu lambat untuk  mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Malaysia masih berada dalam golongan negara berpendapatan sederhana tinggi. Menurut IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) banyak negara membangun sedang mengalami keadaan demikian dari segi pendapatan per kapita KDNK. Bagaimanapun beliau berpendapat bahawa produktiviti adalah lebih penting.

Prof Zakariah, yang akan dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) pada majlis konvokesyen ke-38 awal November ini menjelaskan bahawa produktiviti Malaysia masih rendah berbanding dengan negara-negara maju.

Pertumbuhan ekonomi tidak bermakna berpendapatan tinggi atau status maju kerana sesebuah negara boleh mencatat  pertumbuhan yang tinggi namun masih miskin akibat daya saingnya masih kurang.

KDNK mungkin meningkat dan pendapatan bertambah tetapi taraf hidup tidak naik kerana kos sara hidup meningkat dengan lebih pantas seperti apa yang berlaku di Malaysia.

“Kita nampak berdaya saing apabila nilai mata wang berubah, yang kita boleh ubah untuk kelihatan tinggi. Bagi saya pengukuran daya saing yang lebih tepat ialah produktiviti,” katanya.

Malaysia mungkin boleh mencapai status negara maju berpendapatan tinggi bergantung kepada kaedah yang digunakan untuk mengukur pertumbuhan ekonomi.

Jika pengagihan pendapatan negara diukur dengan menggunakan Nisbah Gini (Gini Coieficient), ia akan menunjukkan bahawa masih terdapat ketidaksamaan yang tinggi. Pengagihan pendapatan pada kadar 0.46 menunjukkan ketidakseimbangan kerana masih ada jurang antara pendapatan kumpulan etnik dan pendapatan penduduk bandar berbanding luar bandar.

Nisbah Gini (atau indeks Gini) adalah ukuran serakan statistik yang bertujuan untuk menunjukkan agihan pendapatan penduduk sesebuah negara. Ini adalah cara biasa yang sering digunakan untuk menunjukkan ketidaksamaan.

Menggunakan KDNK yang ditetapkan oleh IMF hanya menunjukkan jumlah keluaran negara tanpa memberi petunjuk terhadap taraf hidup atau kos sara hidup keseluruhan.

Prof Zakariah berpendapat bahawa terdapat faktor-faktor lain dari segi ekonomi negara yang juga perlu ditangani.

“Kehidupan di negara maju bukan sahaja setakat pendapatan tinggi, tetapi merangkumi segala-galanya,” katanya.

PERKEM adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) UKM dengan setiap negeri menjadi tuan rumah secara bergilir.

Persidangan itu menyediakan platform bagi para penyelidik, pembuat dasar dan mereka yang mengikuti pembangunan ekonomi Malaysia melalui pembentangan hasil penyelidikan yang memberi tumpuan kepada pelbagai isu berkaitan dengan pembangunan ekonomi, pertumbuhan dan suasana perniagaan.

Turut hadir pada acara penutup ialah Pengerusi PERKEM Dr Mohd Adib Ismail dan Pengarah Pusat Kerjaya UKM Prof Dr Ishak Yussof yang telah bertindak sebagai moderator.