Pasukan Kadet UKM Menjuarai Perbarisan PALAPES IPTA

RABU, 24 SEPTEMBER 2014 16:05

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 24 September 2014 – Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjuarai Perbarisan Terbaik di Istiadat Pentauliahan DiRaja Pegawai Kadet Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Mereka telah mengalahkan pasukan dari 12 IPTA lain di Perbarisan Istiadat Pentauliahan DiRaja Pegawai Kadet PALAPES IPTA yang telah berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim akhir bulan lalu.

Piala Kejuaraan mereka itu telah diserahkan kepada Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali oleh Jurulatih PALAPES UKM, Leftenen Kolonel Mohd Safar Said dalam satu majlis rasmi di sini baru-baru ini.

Prof Noor Azlan mengucapkan tahniah kepada pasukan itu kerana telah mengharumkan nama baik UKM.

Beliau berbangga dengan semangat jitu dan latihan yang mereka jalani hingga mencapai kejayaan itu. Ia membuktikan Kadet UKM unggul kerana mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang tinggi serta mempunyai semangat berpasukan yang baik hingga mencapai kejayaan itu, kata Prof Noor Azlan.