Tragedi MH17: Apakah Keadilan Boleh Dicapai

SELASA, 23 SEPTEMBER 2014 16:54

Oleh Shahfizal Musa
Foto Izwan Azman

BANGI, 19 September 2014 – Ukraine sekurang-kurangnya harus dipertanggungjawabkan terhadap tragedi MH17 kerana kecuaian dan kegagalannya untuk memastikan keselamatan hak laluan penerbangan komersil di atas ruang udaranya.

Seorang pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Sufian Jusoh bagaimanapun berkata keadilan yang sebenar adalah mengheret penjenayah yang bertanggungjawab untuk dikenakan hukuman setimpal berikutan dengan penerbangan MAS MH17 yang di tembak jatuh dari ruang udara Ukraine.

Beliau memberi pandangannya itu dalam forum terbuka Bicara PERSADA di UKM hari ini yang membincangkan isu kapal terbang ditembak jatuh semasa berada di ruang udara Ukraine.

Dr Sufian berkata Ukraine adalah salah satu daripada punca penyelesaian perundangan. Hal itu tentunya sudah dapat diselesaikan sekiranya kejadian itu berlaku ke atas penerbangan komersial kepunyaan sebuah negara berkuasa besar.

Malangnya Malaysia bukanlah sebuah negara berkuasa dunia, tambah beliau.

Bagaimanapun Dr Sufian berkata sebelum hukuman demikian dapat dilaksanakan penjenayah sebenar perlu dikenal pasti kalau tidak keadilan amat sukar diperolehi.

Malangnya situasi sekarang menyaksikan puak bersangkutan masing-masing saling menunding jari. Ukraine menyalahkan puak pemisah serta Rusia dan puak pemisah menyalahkan Ukraine.

Dr Sufian mencadangkan penubuhan sebuah mahkamah khas di peringkat antarabangsa untuk mendapatkan keadilan. Ini kerana mekanisma yang sedia ada tidak dapat memastikan ia mampu bebas dari kepentingan politik kuasa besar.

Seorang lagi anggota panel Profesor Madya Dr D Ravichandran K. Dhashinamooty dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) bersetuju dengan perlunya mahkamah khas diwujudkan untuk memastikan keadilan tercapai.

Beliau juga mengakui bahawa undang-undang antarabangsa yang adil selalunya sukar dicapai kerana wujudnya kepentingan politik kuasa besar.

Sebagai contoh Dr Ravichandran berkata sekiranya Ukraine dibawa ke muka pengadilan di mahkamah antarabangsa, ada risiko keputusan akan memihak kepada Ukraine. Ini kerana Ukraine mempunyai hubungan rapat dengan Eropah.

Beliau berkata kerajaan Malaysia telah berjaya melakukan yang terbaik untuk menanggani isu itu walaupun tidak mempunyai kekuatan di persada antarabangsa. Bagaimanapun kerajaan Malaysia telah dapat menggunakan kekuatan diplomasinya.

Sebagai contoh Kerajaan Malaysia telah berjaya berunding dengan puak pemisah untuk mendapatkan jenazah mangsa.

Bagaimanapun dalam isu itu Kerajaan sepatutnya bersuara apabila negara barat menjadikan tragedi MH17 sebagai satu peluang untuk memberi tekanan kepada Rusia seteru mereka. Kerana ini tidak membantu keadaan dan hanya melambatkan proses untuk mendapatkan keadilan

Seorang lagi ahli panel Prof Madya Dr Chang Peng Kee, yang menimbulkan isu pengurusan krisis, berkata tragedi itu memberi pengajaran kepada negara mengenai betapa pentingnya pelan pengurusan krisis diadakan bagi setiap organisasi supaya mereka tahu bagaimana hendak menangani sesuatu krisis apabila berlaku.

Beliau memberi contoh tragedi M370 di mana aliran maklumat agak kucar kacir. Tragedi itu telah mengajar negara pentingnya media dan kewartawanan tempatan diperkukuhkan supaya orang ramai tidak perlu bergantung kepada media antarabangsa seperti CNN, BCC dan lain-lain untuk mendapat maklumat mengenai sesuatu peristiwa melibatkan negara.

Pengarah Jabatan Psikologi di Jabatan Perkhidmatan Awam Prof Dr Abd Halim Mohd Hussin menimbulkan sikap orang ramai yang telah hilang rasa keprihatinan dalam kedua-dua tragedi itu.

Ramai telah membuat komen tanpa mengambil kira perasaan ahli keluarga mangsa. Ini termasuk mereka yang sepatutnya mempunyai nilai etika yang tinggi.

Prof Halim berkata tidak kurang daripada 35 teori konspirasi dikeluarkan di media sosial yang telah mengalihkan tumpuan daripada isu sebenar.

Apa yang penting ialah semua orang perlu bersatu tanpa mengira fahaman politik bagi memastikan keluarga mendapat penyelesaian yang boleh menenangkan hati mereka.

Walaupun perbincangan itu tidak mendedahkan maklumat yang baru tetapi ia telah mengembalikan fokus kepada landasan yang betul. Iaitu negara mesti bersatu untuk menyelesaikan isu tersebut. Ini hanya boleh dilakukan dengan memastikan keadilan tercapai tanpa mengira masa yang diambil.

Hadir di forum tersebut, Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Timbalan-timbalan Naib Canselor serta orang ramai.