UKM Dan Universiti Thai Tingkatkan Kerjasama Penyelidikan Dan Akademik

ISNIN, 08 SEPTEMBER 2014 09:33

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 5 September 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengesahkan komitmen untuk meningkat dan mengukuhkan kerjasama akademik dan penyelidikan dengan universiti-universiti di Thailand.

Suatu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani di sini hari ini antara UKM dan Kedutaan DiRaja Thai untuk menggabungkan beberapa hubungan kerja yang sedia ada antara fakulti dan institut di UKM dan beberapa universiti Thai.

Naib Canselor Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali menandatanganinya untuk UKM manakala Duta Thailand ke Malaysia Krit Kraichitti juga menyampaikan sumbangan sebanyak RM57,000 kepada UKM sebagai mewakili universiti negaranya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik & Antarabangsa) Prof Ir Dr Riza Atiq OK Rahmat dan Timbalan Ketua Kedutaan Thai Saowalak Chaicuson.

MoU itu adalah pembaharuan kerjasama pertama yang telah termeterai pada tahun lalu untuk menubuhkan program UKM-Thai Windows yang melaksanakan projek-projek akademik di mana kerajaan Thai menaja profesor terkemukanya untuk membentangkan kertas kerja di seminar UKM.

Dalam ucapan aluannya Prof Noor Azlan berbangga dapat  memulakan kerjasama demikian itu sebagai persediaan menjelang Integrasi Komuniti ASEAN pada tahun 2015 nanti.

Beliau berkata Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM telah menghantar delegasi pelajar dan kakitangan ke universiti-universiti Chulalongkorn dan Thammasat bagi mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Thai.

Begitu juga pelajar-pelajar dari Pusat Farmasi Universiti Mahidol dan dari universiti Yala dan Rajabhat telah menghadiri semester di kampus UKM di bawah program pertukaran pelajar.

Kraichitti yang tempoh perkhidmatannya di Malaysia akan tamat tidak berapa lama lagi yakin program pertukaran data digital yang sedia ada boleh ditingkatkan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kedua negara.

Beliau berkata UKM-Thai Windows memudahkan pelajar-pelajar di Malaysia mengakses pangkalan data di universiti-universiti Thai. Ia perlu dibangunkan lagi dan projek percuma disediakan untuk pelajar-pelajar di Thailand menyambung ke direktori digital universiti-universiti di Malaysia.

Beliau memuji UKM kerana mempunyai pangkalan data yang berkaitan dan memberi akses dalam talian untuk perpustakaan di Thailand.

Beliau berkata program pertukaran pelajar perlu disusuli dan diperbaiki sebagaimana juga pelbagai jenis kerjasama yang sedia ada perlu diselaraskan supaya tidak bertindih.