| |

Sanggar Kerja Perpustakaan (SKP) 2025

Oleh: Shamsudin Ibrahim, Rosmarlidaini Mah Hasan, Rohalia Mohd Rohani & Nurul Ain Afiqah Zaidi

Tanggal 21 hingga 23 Februari 2025 menjadi saksi kepada satu lakaran sejarah penting bagi warga Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bertempat di Kompleks MSN Saujana Asahan, Melaka, seramai 69 orang warga perpustakaan yang terdiri daripada pustakawan, kurator, dan kakitangan pelaksana telah berkumpul bagi menjayakan Sanggar Kerja Perpustakaan (SKP) UKM 2025. Objektif SKP 2025 adalah;

  1. Mencari idea-idea baharu untuk meningkatkan perkhidmatan perpustakaan secara keseluruhan, termasuk pengurusan perolehan bahan, penggunaan teknologi baharu dan pendekatan kreatif dalam perkhidmatan perpustakaan.
  2. Menyediakan input kepada pembangunan Pelan Strategik Perpustakaan 2025-2027 yang berkaitan dengan pembangunan sumber maklumat, perkhidmatan, kemudahan dan penjanaan pendapatan Perpustakaan.
  3. Menggalakkan kerjasama yang lebih baik antara staf perpustakaan melalui aktiviti pengukuhan pasukan dan perbincangan strategik.
Sesi bergambar
Aspirasi Ketua Pustakawan

Ketua Pustakawan UKM, Encik Hazmir Hj. Zainal, dalam ucapan aluannya menyatakan rasa syukur dan bangga atas komitmen tinggi yang dipamerkan oleh seluruh warga kerja. Menurut beliau, SKP 2025 adalah wadah utama dalam mengumpulkan idea bagi memperkukuh strategi dan hala tuju perkhidmatan. Input yang diperoleh sepanjang tiga hari ini akan menjadi asas kepada pembangunan Pelan Strategik Perpustakaan UKM 2025-2027. Beliau menekankan bahawa kejayaan program ini mencerminkan azam perpustakaan untuk kekal relevan, inovatif, dan berdaya saing dalam menyokong ekosistem akademik serta penyelidikan di UKM.

Menggali Inovasi Melalui Sesi Bengkel

Agenda utama SKP 2025 difokuskan kepada enam kumpulan bengkel yang membincangkan topik-topik kritikal bagi mendepani cabaran zaman digital. Antara topik dan inisiatif yang dibincangkan meliputi;

  1. Transformasi Digital dan AI: Memberi tumpuan kepada penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) untuk pemerkasaan koleksi Bahasa Melayu, pemasangan chatbot AI (tawk.to), dan pembangunan aplikasi mudah alih (Library Mobile Apps).
  2. Inovasi Perkhidmatan: Mencadangkan pemerkasaan sumber maklumat melalui teknologi AI, pembangunan modul Micro Credential (MOOC@UKM) serta penggunaan pengecaman wajah bagi meningkatkan keselamatan dan imej perpustakaan
  3. Pemasaran dan Promosi: Merangka strategi memperkukuh promosi dan keterlihatan perpustakaan melalui kandungan digital kreatif, kolaborasi strategik, pemerkasaan Unit Komunikasi Korporat dan laman web, serta pelaksanaan program ganjaran pelanggan bagi meningkatkan penggunaan perkhidmatan dan koleksi
  4. Penjanaan Pendapatan: Meneroka peluang penjanaan pendapatan melalui penganjuran pelbagai program berimpak tinggi seperti karnival, sukan dan kursus, sewaan ruang, di samping memperluas kerjasama serta jaringan strategik dengan fakulti, institut, pusat dan rakan luar
  5. Sokongan Akademik: Fokus kepada pengurusan tesis versi salinan lembut dan perkhidmatan sokongan Pelan Pengurusan Data.
  6. Pembangunan Profesional: Mewujudkan pasukan tenaga pengajar (pool of trainer) bagi memastikan sesi latihan dan pembangunan kompetensi warga Perpustakaan yang lebih berkesan.
Knowledge Cafe: Percambahan Idea Dua Hala

Sesuatu yang menarik dalam sanggar kali ini adalah pelaksanaan sesi knowledge cafe. Melalui konsep ini, setiap kumpulan membentangkan inisiatif mereka dan menerima maklum balas secara terus daripada kumpulan lain dalam suasana yang santai namun berfokus. Sifat keterbukaan ini membolehkan setiap warga, tanpa mengira pangkat, menyuarakan pendapat dan menyumbang idea kreatif demi kemajuan organisasi.

Siaran Serupa

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *