| |

Amalan EKSA : Persekitaran Kerja Berkualiti dan Cemerlang

Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) diperkenalkan pada Januari 2014 sebagai inisiatif penjenamaan semula Amalan 5S dalam sektor awam. Amalan 5S merangkumi Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke, atau dalam Bahasa Melayu dikenali sebagai Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal. Inisiatif ini bertujuan mewujudkan persekitaran tempat kerja yang berkualiti, kondusif serta relevan dengan keperluan agensi kerajaan di Malaysia.

Pelaksanaan EKSA masih berteraskan Amalan 5S yang ditambah baik dengan beberapa elemen baharu. EKSA bukan bertujuan menggantikan konsep 5S, sebaliknya memperkukuh pelaksanaannya melalui penekanan terhadap imej korporat, kreativiti dan inovasi, amalan hijau, persekitaran kondusif serta kepelbagaian agensi. Pendekatan ini menjadikan EKSA bukan sekadar memastikan “meja bersih”, malah meliputi aspek pengurusan ruang kerja yang lebih menyeluruh. Persekitaran kerja yang teratur dan kondusif mampu meningkatkan motivasi warga kerja serta memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyambut baik pelaksanaan EKSA selaras dengan usaha memperkasakan budaya kerja cemerlang dalam kalangan warga universiti. Objektif pelaksanaan EKSA di UKM adalah menggalakkan budaya kerja berprestasi tinggi melalui aktiviti kreatif dan inovatif dalam kalangan warga bagi meningkatkan imej korporat universiti; mewujudkan ekosistem persekitaran universiti yang kondusif dan lestari; menerapkan elemen pengauditan dengan memenuhi keperluan kepelbagaian fungsi entiti di universiti dan menerapkan elemen pengauditan dengan memenuhi keperluan kepelbagaian fungsi entiti di universiti.

Pelaksanaan EKSA di UKM bermula dengan penganjuran Gotong-Royong Perdana UKM yang diadakan pada 6 hingga 8 Mac 2023. Program tersebut menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan EKSA secara menyeluruh di universiti. Majlis Pelancaran EKSA dan Perasmian Gotong-Royong EKSA telah disempurnakan oleh Pendaftar UKM pada 6 Mac 2023 di Dataran Tun Seri Lanang, Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL). Sebanyak 14 Pusat Tanggungjawab (PTj) telah dipilih sebagai perintis pelaksanaan EKSA di UKM. PTSL bersama Program Sains Forensik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) digabungkan di bawah Kluster Dua. Zon al-Biruni pula dipilih sebagai zon rintis pelaksanaan awal di PTSL yang meliputi aras empat termasuk ruang pelanggan.

Pada peringkat awal pelaksanaan EKSA di Kluster Dua, Jawatankuasa Pelaksana EKSA telah

menganjurkan lawatan penanda aras ke Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 25 Julai 2023. Lawatan tersebut disertai oleh 31 orang peserta yang terdiri daripada 28 warga EKSA Kluster Dua dan  tiga orang pelajar latihan industri. Selain itu, Panduan Penyeragaman EKSA turut dibangunkan sebagai rujukan bersama Garis Panduan Pelaksanaan EKSA UKM. Sudut EKSA juga diwujudkan di Zon al-Biruni bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman warga terhadap pelaksanaan EKSA.

Penerangan daripada pustakawan Perpustakaan Abdul Sultan Abdul Samad, UPM berkaitan EKSA

Pelaksanaan EKSA terus berkembang secara menyeluruh di PTSL pada tahun 2024. Kluster Dua merangkumi enam zon, iaitu lima zon di PTSL dan satu zon di Program Sains Forensik. Zon di PTSL terdiri daripada Zon al-Farabi (aras dua), Zon al-Khindi (aras tiga), Zon al-Biruni (aras empat), Zon al-Jabbar (aras lima) dan Zon al-Khawarizmi (aras enam), manakala Program Sains Forensik pula diwakili oleh Zon Abu Ali al-Hasan.

Pelaksanaan EKSA memerlukan pelbagai aktiviti dan program kerana ia bukan sahaja melibatkan perubahan fizikal tempat kerja, malah turut merangkumi perubahan budaya kerja organisasi. Pelbagai aktiviti yang dilaksanakan membantu memastikan amalan EKSA dapat difahami, diterima dan diamalkan secara berterusan oleh seluruh warga organisasi. Melalui pelaksanaan EKSA yang konsisten, organisasi dan pelanggan dapat menikmati pelbagai impak positif, antaranya:

  • Peningkatan produktiviti : Dokumen dan fail yang disusun secara sistematik dapat mengurangkan masa pencarian serta mempercepatkan urusan kerja.
  • Peningkatan motivasi staf : Persekitaran kerja yang bersih, ceria dan selamat memberikan keselesaan kepada staf serta membantu mengurangkan tekanan kerja.
  • Kepuasan pelanggan : Kaunter perkhidmatan yang kemas dan mesra pengguna mampu memberikan tanggapan pertama yang positif kepada pelanggan.
  • Penjimatan kos : Amalan kitar semula dan penjimatan utiliti membantu mengurangkan pembaziran serta menjimatkan kos operasi universiti.
  • Pengukuhan semangat kerja berpasukan : Kerjasama antara warga organisasi dalam memastikan persekitaran kerja sentiasa berada dalam keadaan terbaik. Kerjasama ini dapat mengeratkan hubungan sesama staf dan mewujudkan suasana kerja yang harmoni.

Siaran Serupa

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *