| |

Projek Penyelidikan WaRiSAN Melayu: Memartabatkan Bahasa Kebangsaan di Era Kecerdasan Buatan (AI)

Dalam mendepani arus pemodenan teknologi yang kian pesat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali lagi membuktikan komitmennya sebagai benteng pejuang bahasa kebangsaan melalui pelaksanaan projek penyelidikan Wahana Rintis Semantik Ayat Nasional (WaRiSAN) Melayu. Projek berimpak tinggi ini merupakan satu inisiatif strategik di bawah mandat Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Inisiatif Belanjawan 2025 yang bertujuan untuk memperkasa bahasa kebangsaan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) menggunakan peruntukan khas berjumlah RM 8,000,000.

Projek WaRiSAN Melayu diterajui oleh Fakulti Teknologi Sains Maklumat (FTSM) dengan kerjasama erat Perpustakaan UKM, Pusat Teknologi Digital, Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Perubatan, Institut Alam & Tamadun Melayu, Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, Fakulti Sains Teknologi, Fakulti Pendidikan, Fakulti Undang-Undang dan Institut Visual Informatik. Projek ini bukan sekadar satu usaha teknikal, malah merupakan satu misi nasional untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dalam ekosistem digital dunia.

Pasukan Penyelidik dan Rakan Strategik Projek WaRiSAN Melayu
Mengapa Projek WaRiSAN Melayu Penting?

Dunia kini sedang menyaksikan revolusi Model Bahasa Besar (Large Language Models – LLM) seperti ChatGPT, Gemini dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kebanyakan model AI sedia ada lebih cenderung kepada bahasa Inggeris, menyebabkan nuansa, budaya, dan ketepatan istilah Bahasa Melayu sering kali tersasar dalam sudut istilah serta konteks ayat. Sehubungan itu, objektif utama projek WaRiSAN Melayu adalah untuk membetulkan jurang ini dengan:

  • Mewujudkan infrastruktur pusat data tempatan dan ruang bakat satelit khusus untuk ekosistem WaRiSAN Melayu
  • Membangunkan serta mengesahkan model asas Model Bahasa Besar Kebangsaan (WaRiSAN-BM) bagi kegunaan sektor awam dan swasta.
  • Membina pangkalan data bersepadu WaRiSAN-ARKIB bagi menyelaras pengumpulan, penyediaan, dan pemodenan data serta pendigitalan koleksi bahasa Melayu ke dalam sistem AI.
  • Merangka rangka kerja program WaRiSAN-CAKNA bagi memastikan penggunaan model AI ini memberi impak rentas kementerian dan perkhidmatan kepada rakyat.

Siaran Serupa

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *