UKM Terus Cemerlang Dalam QS World University Rankings: Sustainability 2027

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah universiti yang komited terhadap agenda kelestarian global apabila mencatatkan pencapaian membanggakan dalam QS World University Rankings: Sustainability 2027.

UKM berjaya meningkatkan kedudukan daripada tangga ke-25 kepada tangga ke-23 di Asia, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia dan berada pada kedudukan ke-211 dunia daripada 2,004 institusi yang disenaraikan.

Lebih membanggakan, skor keseluruhan kelestarian UKM menunjukkan peningkatan yang konsisten daripada 71.3 mata pada tahun 2024 kepada 85.8 mata pada tahun 2027, iaitu lonjakan sebanyak 14.5 mata atau peningkatan relatif 20.3% dalam tempoh empat tahun.

Pencapaian ini mencerminkan kesungguhan UKM dalam memperkukuh pelaksanaan Pelan Strategik Kelestarian UKM 2030, yang diperkasakan melalui Pelan Strategik UKM 2026–2030 (TEKAD 57) sebagai landasan transformasi universiti ke arah kecemerlangan, kesejahteraan dan kelestarian institusi.

Kejayaan ini turut didorong oleh komitmen berterusan pihak pengurusan tertinggi universiti, kepimpinan fakulti, institut dan pusat tanggungjawab (PTj), serta sokongan seluruh warga UKM dalam membudayakan amalan kelestarian melalui pengurusan tenaga dan sumber secara cekap, pengurangan pelepasan karbon, penyelidikan berimpak dan penglibatan komuniti.

Pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa, malah menjadi pemangkin untuk UKM terus mempercepat transformasi ke arah Kampus Rendah Karbon 2030, selaras dengan aspirasi pembangunan kampus yang lebih hijau, berdaya tahan dan mampan untuk generasi masa hadapan.

Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga UKM atas komitmen, sumbangan dan usaha berterusan dalam menjayakan agenda kelestarian universiti.

Bersama Melestarikan UKM, Memacu Masa Depan Rendah Karbon.

IMAN • ILMU • AMAL

Similar Posts