Pusat Pembangunan Karier UKM | UKM Career Advancement Centre

Program Kerjasama Strategik dan Minum Petang Bersama Khazanah Nasional Perkasa Kebolehpasaran Graduan UKM

Bangi, 27 Februari 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Program Kerjasama Strategik dan Minum Petang bersama Khazanah Nasional sebagai platform untuk berkongsi idea dan aspirasi dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Program ini menampilkan Dr. Raslan Rashid, Pengarah Strategic Human Capital Management, Khazanah Nasional, dan En. Ahmad Rizal Omar, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) PLUS Malaysia Berhad, sebagai panel jemputan. Turut hadir ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (HEJIM) dan Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), serta wakil industri dan akademik yang berkepentingan dalam pembangunan modal insan.

Sesi ini bertujuan untuk membincangkan strategi serta peluang yang boleh dimanfaatkan oleh graduan UKM dalam menyesuaikan diri dengan keperluan industri. Selain itu, program ini turut memperkenalkan pelbagai peluang kerjaya dan program latihan yang ditawarkan oleh Khazanah Nasional dan syarikat berkaitan.

Dalam sesi perkongsian, para panel menekankan kepentingan membangunkan kemahiran insaniah dan keupayaan teknikal yang selari dengan keperluan pasaran kerja masa kini. Mereka juga menekankan bahawa kerjasama antara universiti dan industri adalah kunci kepada peningkatan daya saing graduan dalam menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

Dengan adanya inisiatif seperti ini, UKM terus komited dalam membentuk jaringan kukuh dengan pihak industri bagi memastikan pelajarnya mempunyai akses kepada peluang pekerjaan dan latihan yang berkualiti. Program ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kolaborasi strategik yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, sekaligus memperkasakan pembangunan bakat negara.

 

Penulis: Cik Nurul Ashikin Zainurdin

Februari 2024