Pusat Pembangunan Karier UKM | UKM Career Advancement Centre

Minda Sihat di Tempat Kerja

9 Januari 2025 | Bangi

Seramai 30 orang pelajar UKM telah menyertai program ceramah bertajuk “Healthy Workplace Starts With A Healthy Mind” yang diadakan sebagai inisiatif meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dalam mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan produktif.

Ceramah ini menampilkan En. Nasrulhaq Mustaqim, kaunselor dari Management and Science University (MSU), sebagai penceramah jemputan. Dalam perkongsian beliau, En. Nasrulhaq menekankan bahawa kesejahteraan mental memainkan peranan penting dalam membentuk sikap positif, meningkatkan prestasi kerja serta memperkukuh hubungan interpersonal di tempat kerja.

Program ini merupakan hasil anjuran pelajar kursus LMCR3442 Pengurusan Program Kerjaya dengan kerjasama UKM-Karier. Melalui penganjuran ini, para pelajar bukan sahaja berpeluang menimba ilmu berkaitan kesihatan mental, malah memperoleh pengalaman dalam merancang dan mengendalikan program pembangunan diri yang bermanfaat.

Program berakhir dengan sesi soal jawab interaktif yang mendapat sambutan hangat daripada peserta, mencerminkan minat mendalam terhadap isu kesejahteraan mental dalam kalangan pelajar universiti masa kini.

Disediakan oleh
Nurul Ashikin Zainurdin

#sdg4 #QualityEducation #sdg8 #DecentWorkAndEconomicGrowth #sdg17 #partnershipForTheGoals