Pusat Pembangunan Karier UKM | UKM Career Advancement Centre

MOHE-MDEC Global Outsourcing Talent Latih 5,000 Peserta dalam Bidang Gig Economy

Putrajaya, 6 November 2024 – Program MOHE-MDEC Global Outsourcing Talent, yang bermula sejak September 2023, telah melahirkan 5,000 peserta dari seluruh negara, bertujuan melatih pelajar dan graduan dalam Gig Economy serta membolehkan mereka menjana pendapatan melalui platform global.

Majlis penutup program ini telah diadakan pada 6 November 2024 dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, dengan kehadiran Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman dan YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi MDEC. 

Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Ts. Mustapha Sakmud menekankan kepentingan kemahiran digital dan ekonomi gig, yang semakin berkembang pesat dan menawarkan peluang pekerjaan yang luas di peringkat antarabangsa.

“Program ini bukan sahaja melengkapkan graduan dengan kemahiran freelancing tetapi juga membantu mereka menjana pendapatan secara fleksibel dan berdikari. Ia sejajar dengan agenda kerajaan untuk memperkukuh ekonomi digital negara serta memastikan graduan mempunyai laluan kerjaya yang lebih luas,” katanya.

Program MOHE-MDEC Global Outsourcing Talent memberi penekanan kepada latihan praktikal, pembangunan kemahiran digital, strategi pemasaran diri, serta penggunaan platform global seperti Upwork, Fiverr, dan Freelancer.com. Peserta juga diberikan bimbingan oleh tenaga pengajar berpengalaman dalam industri freelancing.

Sementara itu, YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi MDEC, menyatakan bahawa program ini membuktikan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan, dan sektor industri dalam menyediakan peluang pekerjaan yang inovatif untuk anak muda.

Dengan kejayaan program ini, diharapkan lebih banyak inisiatif seumpamanya akan diperkenalkan bagi memperluas peluang ekonomi digital serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab bakat digital di peringkat antarabangsa.

 

Penulis: Cik Nurul Ashikin

November 2024