Bangi, 16 Oktober 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan Majlis Pelantikan Pensyarah Industri Tanpa Biaya sebagai langkah memperkukuh hubungan antara universiti dan sektor industri dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Majlis pelantikan ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UKM, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil. Program ini turut diadakan bersempena dengan sambutan 10 tahun UKM-Karier, yang memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar menuju alam pekerjaan.
Antara syarikat dan agensi yang dilantik sebagai Pensyarah Industri Tanpa Biaya ialah Bank Islam Group, MSQ Power Training, dan PERKESO, yang masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan, latihan profesional, serta perlindungan sosial.
Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil menekankan bahawa pelantikan ini membuktikan bahawa kerjasama antara industri dan universiti bukan sahaja boleh berlaku, tetapi juga mampu memberi manfaat besar kepada para pelajar.
“Kerjasama berterusan ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sistem pendidikan di UKM, tetapi juga memastikan pelajar lebih bersedia untuk menempuh cabaran dalam alam pekerjaan. Dengan bimbingan pakar industri, mereka akan mendapat perspektif yang lebih luas tentang dunia pekerjaan sebenar,” katanya.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah UKM-Karier, Prof. Madya Dr. Salleh Amat, serta wakil daripada syarikat yang dilantik. Kehadiran wakil industri ini membuktikan komitmen mereka dalam menyokong pembangunan modal insan di UKM.
Dengan pelantikan ini, UKM berharap dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan sektor industri serta memastikan graduannya dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.
Penulis: Cik Nurul Ashikin Zainurdin
Oktober 2024