Program Saringan Kanser Kolorektal Komuniti di PPR Taman Mulia, Cheras

 

19 Mac 2023 – UMBI dengan kerjasama Fakulti Perubatan UKM, DBKL dan Persatuan Penduduk Komuniti PPR Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras KL telah bekerjasama secara kolektif di dalam melaksanakan Program Saringan Kanser Kolorektal di Dewan Parking Bertingkat, PPR Taman Mulia. Program ini merupakan siri yang ke 5 mensasarkan kepada kelompok B40 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.

Sehingga kini, program ini masih berlangsung dan telah berjaya melibatkan lebih 300 orang peserta untuk menyertai ujian saringan kanser kolorektal menggunakan kit Ujian Pengesanan Darah Di dalam Najis (iFOBT) secara percuma. Program ini dibiayai oleh dana penyelidikan; Projek Pemeriksaan Kanser Kolorektal Menggunakan Ujian Darah Pada Najis (iFOBT) dalam Populasi Malaysia berumur 40 – 65 tahun (HiCOE-CRC), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Di Malaysia, kanser kolorektal merupakan kanser utama bagi lelaki dan kedua selepas kanser payudara bagi wanita. Selain itu, Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) 2012-2016 melaporkan lebih 70% kanser kolorektal dikesan berada pada tahap 3 dan 4, iaitu tahap akhir yang sukar untuk dirawat dan dipulihkan. Projek ini bertujuan untuk mengakses tahap kesedaran komuniti penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Cheras, Kuala Lumpur disamping menyediakan platform saringan awal kanser kolorektal secara percuma.

Peserta yang berkeputusan positif di dalam saringan ini, akan diberikan rawatan susulan kolonoskopi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) juga secara percuma. Dan di akhir projek ini, analisa keberkesanan kos saringan awal kanser kolorektal menggunakan kit iFOBT akan turut dilaksanakan.

Diharapkan program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kanser kolorektal termasuk cakna terhadap pengesanan tanda-tanda awal kanser ini. Pengesanan dan rawatan kanser ini diperingkat awal akan memberi impak ke atas pengurangan beban kewangan masyarakat terhadap kos perawatan disamping meningkatkan kualiti hidup, kesihatan dan kemandirian rakyat secara keseluruhan.

 

Gambar foto: Program Saringan Kanser Kolorektal Komuniti di PPR Taman Mulia, Cheras

Artikel berkaitan:

  1. Program Saringan Kanser Kolorektal Komuniti Sri Johor (A & B), Cheras KL
  2. Program Saringan Kanser Kolorektal Komuniti Bandar Tun Razak
  3. Program Saringan Kanser Kolorektal Komuniti PPR Sri Kota, Bandar Tun Razak
  4. Program Saringan Kanser Kolorektal Di Perumahan Awam Sri Sabah (3B)