Wacana Kelestarian Bil 3/2023

Pada 14 September 2023, Wacana Kelestarian Bil 3/2023 telah disampaikan oleh Felo Pelawat dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Daud Abdul-Fattah Batchelor. Wacana tersebut disampaikan di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) dan bertajuk “Mitigating Environmental Degradation: Muslims’ Strategic Roles for Human Well-Being and Planetary Stability”. Menurut Dr Daud, kemerosotan alam sekitar adalah disebabkan faktor pertumbuhan penduduk, kemewahan dan teknologi. Sistem keadilan sosial dalam Islam mengaplikasikan prinsip ‘adl yang menekankan keadilan dalam pengagihan sumber. Islam juga menekankan nilai-nilai yang menggalakkan penyesuaian perubahan iklim, seperti sabr dan qana’ah (kesyukuran). Dr Daud juga menyampaikan bahawa penggunaan berlebihan merupakan pendorong kepada perubahan iklim yang lebih besar berbanding pertumbuhan penduduk terutamanya di negara-negara Barat dan Gulf Arab yang menjanakan karbon dioksida per kapita yang lebih tinggi berbanding negara-negara yang mempunyai kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi. Umat Islam secara khusus memainkan peranan strategik dalam mengurangkan kemerosotan alam sekitar melalui pendidikan, gaya hidup lestari, pemuliharaan, pelaburan beretika dan advokasi serta penglibatan dalam penggubalan dasar. Strategi pertama adalah dengan menjalankan peranan melalui pendidikan dan kesedaran, sebagai contoh, Istanbul mengadakan simposium Islamic Declaration on Global Climate Change. Selain itu, gaya hidup lestari dari segi pengangkutan, pemakanan, peralatan elektronik rumah juga boleh mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Pendudukan umat Islam di serata dunia tidak terkecuali dari keterancaman terhadap kawasan yang berisiko bencana iklim haruslah berperanan dan bertanggungjawab dalam menangani kemerosotan alam sekitar dengan melakukan kerja pemuliharaan di negara tersendiri. Institusi kewangan Islam berpeluang melabur dalam tenaga boleh baharu, projek mesra alam atau memperkenalkan green bonds atau sukuk (ikatan yang mematuhi syariah). Seterusnya, umat Islam digalakkan untuk terlibat dalam advokasi dan penggubalan dasar berkaitan alam sekitar. Akhir sekali, Dr Daud menyarankan golongan kaya untuk mengawal penggunaan mereka yang berlebihan yang secara tidak langsung memberi kesan pencemaran kepada golongan kurang berkemampuan dan natijahnya kepada perubahan iklim yang menjadi bencana kepada kesegatan manusia di dunia.

Laporan oleh Dr. Nurfashareena Muhamad & Dr. Nor Diana Mohd Idris