Bengkel Penulisan Geran Jabatan Oftalmologi Siri 1/2023

Jabatan Oftalmologi UKM dengan kerjasama Persatuan Kumpulan Penyelidikan Oftalmologi UKM meneruskan anjuran Bengkel Penulisan Geran Penyelidikan bagi tahun 2023 yang telah diadakan pada 17 Mac 2023, hari Jumaat bertempat di Hotel Sunway Velocity Cheras, Kuala Lumpur. Bengkel ini dijalankan sepenuh hari bermula dari pendaftaran peserta pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Sehubungan dengan itu, bengkel ini telah disertai oleh semua pensyarah jabatan, pensyarah pelatih, pegawai optometri, pegawai penyelidik dan pembantu penyelidik. Bengkel ini telah diacarakan oleh En. Mohd Hairul Nizam selaku urusetia bengkel ini.

Pada bengkel kali ini, kami telah menjemput dua orang penceramah untuk perkongsian di sesi pagi. Penceramah pertama iaitu Prof. Ir. Dr. Abu Bakar Sulong memulakan perkongsiannya yang bertajuk “Geran Penyelidikan Dana Dalaman”. Beliau merupakan Professor di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, UKM dan juga Timbalan Pengarah di Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Instrumentasi (CRIM). Beliau menerima PhD dari Universiti Sejong, Korea Selatan di bawah Makmal Pemprosesan Bahan Termaju, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Aeroangkasa. Pengkhususan beliau adalah dalam bidang Pemprosesan Bahan Komposit dan Metalurgi Serbuk. Tambahan lagi, Prof. Ir. Dr. Abu Bakar Sulong juga berpengalaman sebagai ketua projek dan program geran bernilai lebih RM4.0 juta.

Seterusnya, penceramah kedua iaitu Prof. Dr. Suzana Makpol menyampaikan perkongsiannya yang bertajuk “Successful Research Strategies: From research proposal to published manuscript”. Beliau merupakan Professor Biokimia di Fakulti Perubatan UKM. Prof. Dr. Suzana Makpol lulus dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sarjana Muda Sains Kepujian (Biokimia Klinikal) pada tahun 1992 dan memperoleh PhD (Biokima Perubatan) dari universiti yang sama pada tahun 1997. Beliau telah menerbitkan lebih daripada 100 kertas kerja dalam jurnal antarabangsa yang disemak rakan sebaya dan membentangkan lebih daripada 150 kertas kerja seminar dalam persidangan tempatan dan antrabangsa. Beliau telah memegang banyak geran penyelidikan dan kini terlibat dalam beberapa projek penyelidikan.

Setelah selesai kedua-dua perkongsian tersebut, sesi soal jawab bersama penceramah dibuka. Selepas sesi soal jawab berlaku, sesi penyampaian cenderamata dan penghargaan pula berlangsung yang disampaikan oleh Dr. Liza selaku Ketua Jabatan Oftalmologi. Kemudian, Prof Ir. Dr. Abu Bakar beredar dari bengkel tersebut, manakala Prof. Dr. Suzana Makpol kekal bersama kami sehingga habis sesi perbincangan berkumpulan. Semasa sesi perbincangan berkumpulan berlaku, Prof. Dr. Suzana Makpol menjadi fasilator dan membantu para peserta dalam berkongsi idea dan pendapat bersama. Selesai sesi perbincangan, Prof. Dr. Suzana beredar pulang dan kesemua para peserta menjamu selera makan tengahari bersama.

Selepas waktu rehat, sesi pembentangan proposal berkumpulan bermula. Pembentangan pertama bermula dengan Dr. Lam Chenshen dan pembantunya ialah Encik. Adib Mohd Satali dari kumpulan Kornea. Geran yang di target oleh Dr. Lam ialah Geran Galakan Penyelidik Muda (GGPM). Seterusnya, pembentangan kedua ialah Dr. Wong Kah Hie dan pembantunya Cik Nurulwahida dari kumpulan Paediatrik. Geran yang di target oleh Dr. Wong masih dalam perbincangan dengan Prof. Safinaz. Pembentangan diteruskan dengan Dr. Liza dan pembantunya ialah Encik Zubair dari kumpulan Oculoplastik. Geran yang di target oleh Dr. Liza ialah Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) dan Transdisciplinary Research Grant Scheme (TGRS). Seterusnya, pembentangan diteruskan oleh wakil kumpulan Retina iaitu Puan Shameera. Kemudian, bengkel diakhiri dengan pembentangan Dr. Yong Meng Hsien yang mana beliau meletakkan target untuk geran industri.

Selepas sesi pembentangan selesai, Dr. Othmaliza Othman mengakhiri bengkel tersebut dengan ucapan dan harapan beliau. Ringkasan proposal perlu di derafkan dan dihantar kepada pihak urusetia atas arahan Dr. Liza. Akhir kata daripada kami selaku urusetia bengkel kali ini, merakamkan setinggi penghargaan, tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua peserta serta tetamu yang hadir bersama-sama menjayakan bengkel geran pada tahun ini. Diharapkan bengkel ini akan dapat meningkatkan kualiti proposal penyelidikan dan seterusnya Jabatan akan memperoleh beberapa geran penyelidikan bagi terus memacu aktiviti penyelidikan di Jabatan dan UKM.