Jabatan Oftalmologi Fakulti Perubatan

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Mata Kuyu Boleh Menjadi Mata Malas Dalam Kalangan Kanak-Kanak?

Othmaliza Othman1, Mohamad Salehuddin Md Saad3, Ainal Adlin Naffi2, Wan Haslina Wan Abdul Halim1, Safinaz Md Khialdin1, Norshamsiah Md Din1

1Pakar Perunding Mata, Jabatan Oftalmologi, Pusat Perubatan UKM, 2Pakar Mata, Jabatan Oftalmologi, Pusat Perubatan UKM, 3Pembantu Penyelidik, Jabatan Oftalmologi, Pusat Perubatan UKM

Tarikh terbit: 25 November 2019

 

APA ITU MATA KUYU (PTOSIS)?

Mata kuyu ialah keadaan di mana kelopak mata atas jatuh atau turun sedikit berbanding keadaan biasa atau normal. Dalam bahasa perubatan, keadaan mata kuyu ini dipanggil sebagai “ptosis” (sebutan : “toe-sis” ). Mata kuyu boleh berlaku pada sebelah atau kedua-dua belah mata, dan juga boleh terjadi semenjak kelahiran  atau juga dikenali sebagai kongenital (congenital ptosis) , ataupun selepas lahir (acquired ptosis).

Gambar 1. Mata Kuyu (ptosis)

Keadaan  mata kuyu ini boleh menghalang penglihatan (visual axis) kanak-kanak dan seterusnya akan menyebabkan mata malas. Selain itu, kanak-kanak tersebut juga akan selalu mengangkat kepala atau postur dagu ke atas (chin-up) agar dapat melihat dengan lebih baik. Keadaan tersebut boleh menyebabkan ketakseimbangan pada postur badan sehingga melewatkan perkembangan terutamanya dari segi berjalan. Sekiranya berlarutan, kepala mereka boleh  menjadi senget atau teleng (torticollis ocular).

Gambar 2. Keadaan postur kepala senget/ teleng (tortikolis ocular)

Sumber gambar : Portal MyHealth, Kementerian Kesihatan Malaysia.

APA PULA ITU MATA MALAS (AMBLIOPIA)?

Mata malas (amblyopia) merujuk kepada gangguan penglihatan pada mata yang kelihatan normal strukturnya. Ia boleh berlaku pada sebelah atau pada kedua-kedua belah mata. Apabila mata tidak dapat menerima ransangan penglihatan yang baik, stimulasi penglihatan melalui saraf mata ke otak tiadk boleh berlaku.Jadi bagi kanak-kanak yang mengalami mata malas, terdapat gangguan dalam pemprosesan imej oleh pusat penglihatan di otak. Ambliopa berlaku jika gangguan rangsangan visual ini terjadi pada peringkat umur awak kanak-kanak.

Dalam kajian yang dibuat oleh Rokiah Omar, di Sitiawan, Perak pada tahun 2009, di kalangan 479 orang  kanak-kanak  prasekolah, mata malas ialah masalah penglihatan kedua tertinggi  (1.0%) selepas masalah refraksi (4.8%).

Gambar 3. Gambar atas ialah pandangan kabur untuk mata ambliopia dan gambar bawah ialah untuk mata normal.

Sumber gambar : Portal Myhealth. Kementerian Kesihatan Malaysia

MATA KUYU AKAN MENYEBABKAN MATA AMBLIOPIA?

Kelopak mata kuyu adalah salah satu keadaan yang boleh menghalang ransangan visual kanak-kanak dan menyebabakan amblyopia. Dalam satu kajian kohort yang dibuat oleh Griepentrog pada 2013 daripada Minnesota, Amerika Syarikat merumuskan bahawa 1 daripada 7 kanak-kanak yang mengalami mata kuyu didiagnos dengan ambliopia. Jumlah ini agak membimbangkan kerana kemungkinan untuk mendapat ambliopia ialah sangat tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami mata ptosis. Jika mata ambliopia ini tidak dirawat puncanya di peringkat awal, mata berpenyakit itu boleh menjadi kabur seumur hidup .

Kerjasama daripada ibu bapa atau penjaga adalah penting untuk mengenal pasti keadaan mata ptosis atau mata yang tidak normal seawal mungkin untuk dibawa berjumpa dengan doktor untuk tindakan  selanjutnya.

APAKAH RAWATAN UNTUK MATA KUYU DAN MATA AMBLIOPIA?

Mata ptosis memerlukan pemeriksaan doktor mata untuk menentukan sama ada kelopak mata yang jatuh itu menghalang penglihatan atau tidak.   Komplikasi lain seperti keadaan postur kepala tidak betul dan amblyopia juga perlu dikenal pasti.

Jika ptosis tidak mengganggu penglihatan,doktor akan melakukan pemantauan dari masa ke masa untuk memastikan keadaan tersebut tidak berlanjutan atau semakin teruk. Walaubagaimanapun, jika sudah terdapat komplikasi pada mata ptosis seperti ambliopia, maka pembedahan mata untuk memperbaiki mata ptosis perludijalankan.

Pada kebanyakan kes, intervensi awal untuk mata kuyu dapat mengurangkan risiko ambliopia dan dapat mengembalikan penglihatan yang normal.

Selain menjalani pembedahan untuk mengangkat kelopak mata, kanak-kanak yang mengalami ambliopia juga perlu menjalani rawatan ‘patching’. Ia adalah satu rawatan yang menggunakan alat khas untukmenutup mata yang normal selama 2-6 jam sehari. Ini akan melatih kembali otak memproses imej yang diterima dari mata ambliopia dan seterusnya meningkat kedayaupayaan mata ambliopia untuk melihat semula dengan normal.

 

Gambar 4.Rawatan ‘patching’ dengan menutup mata yang normal

Sumber gambar : Portal Myhealth. Kementerian Kesihatan Malaysia.

Gambar 5. Pembedahan untuk merawat mata kuyu

 

Sebelum pembedahan

Selepas pembedahan

Gambar 6. Gambar sebelum (A) dan selepas pembedahan (B) pesakit yang mengalami mata kuyu.

Pemeriksaan ketajaman visual (visual acuity) akan dibuat secara berkala semasa rawatan ini dijalankan untuk melihat perubahan mata ambliopia tersebut.

KESIMPULAN

Ibu bapa atau penjaga kanak-kanak harus mengenal pasti keadaan mata kuyu seawalnya agar komplikasi mata malas tidak berlaku. Ibu bapa juga harus membawa kanak-kanak tersebut berjumpa dengan doktor mata untuk pemeriksaan dan rawatan berkala. Rawatan mata malas ini perlu diberi diperingkat awal usia kanak-kanak.  Cegahlah mata malas sebelum terlambat.

 

RUJUKAN.
  1. Rokiah O, Durratul AH, Victor FK, (2009), Penyebab Masalah Penglihatan di Kalangan Kanak-Kanak Prasekolah di Daerah Sitiawan, Perak, Malaysia. Sains Malaysiana 38 (6)(2009), 959-964
  2. Griepentrog, G. J., Diehl, N., & Mohney, B. G. (2013). Amblyopia in childhood eyelid ptosis. American journal of ophthalmology, 155(6), 1125–1128.
  3. Portal MyHealth. Kementerian Kesihatan Malaysia. http://www.myhealth.gov.my/kabur-penglihatan-di-kalangan-kanak-kanak/ dilihat 15 okt 2019.
  4. Portal MyHealth, Kementerian Kesihatan Malaysia. http://www.myhealth.gov.my/mata-malas-ambliopia/, dilihat 15 okt 2019.