UKM Ocular Surface Disease – Dry Eye Workshop (OSD-DEW) 2026
Pada 21-22 Ogos 2026 yang lalu, Jabatan Oftalmologi Fakulti Perubatan UKM telah menganjurkan Bengkel Penyakit Permukaan Mata & Mata Kering (UKM OSD-DEW) 2026 di Hotel Zecon, Cheras Kuala Lumpur.
Bengkel ini telah dihadiri oleh hampir 140 peserta yang terdiri daripada doktor pakar oftalmologi, pegawai perubatan, optometris, kakitangan kesihatan dan juga pelajar yang terlibat di dalam bidang penjagaan mata di dalam sektor awam dan swasta. Bengkel kali ini turut disertai oleh delegasi antarabangsa terutamanya dari Indonesia.
Bengkel kali ini menggabungkan sesi kuliah pada pagi hari pertama dan kemudian diikuti dengan sesi hands-on pada sesi petang. Lebih 10 stesen yang disediakan; menampilkan peralatan terkini dan canggih yang digunakan dalam diagnostik dan rawatan penyakit mata kering. Peserta berpeluang mencuba dan mengalami sendiri ujian-ujian yang disediakan serta bertanya kepada pakar-pakar yang dijemput untuk membantu sesi amali ini.
Sesi pada hari kedua diteruskan dengan slot ceramah yang turut disertai oleh syarikat Santen yang menampilkan penceramah dari Singapura & Thailand. Sesi ini berjalan secara siaran langsung di beberapa negara Asia seperti Korea, Thailand, Indonesia dan peserta berpeluang untuk berinteraksi bersama panel-panel jemputan semasa sesi tersebut.
