Jabatan Oftalmologi Fakulti Perubatan

 Universiti Kebangsaan Malaysia

GLAUKOMA – PENCURI SENYAP PENGLIHATAN

Prof. Madya Dr. Norshamsiah Md Din, Dr. Rona Asnida Nasaruddin, Dr. Tang Seng Fai

 

S: Apakah penyakit glaukoma?
J: Glaukoma adalah sejenis penyakit saraf mata. Ianya menyebabkan medan penglihatan hilang sedikit demi sedikit, sehingga semua medan penglihatan hilang dan seterusnya mengakibatkan kebutaan yang kekal.

 

S: Apakah penyebab glaukoma?
J: Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada seseorang untuk mendapat penyakit glaukoma. Faktor risiko yang paling utama ialah tekanan mata yang tinggi. Ini hanya boleh ditentukan dengan pemeriksaan tekanan mata oleh pakar mata dan pakar optometri. Faktor-faktor lain termasuk usia yang lanjut, mempunyai ahli keluarga yang menghidap glaukoma, rabun jauh, penggunaan ubat steroid untuk penyakit mata merah dan gatal, penyakit lain yang mengurangkan pengaliran darah ke mata seperti migrain dan lain-lain lagi. Individu yang mempunyai rabun dekat juga berisiko untuk mendapat glaukoma jenis “closed-angle”.

 

S: Jika saya pesakit kencing manis dan darah tinggi, adakah saya berisiko untuk mendapat glaukoma?
J: Kencing manis dan darah tinggi adalah risiko yang didapati tidak konsisten untuk menyebabkan glaukoma.

 

S: Adakah orang tua sahaja yang boleh menghidap penyakit glaukoma?
J: Glaukoma boleh berlaku kepada pelbagai lapisan umur, dari bayi yang baru lahir dan orang muda. Tetapi, glaukoma paling kerap berlaku kepada individu-individu yang melebihi umur 65 tahun.

 

S: Bagaimana saya boleh mengetahui jika bayi saya menghidap glaukoma?
J: Bayi yang menghidap glaukoma mempunyai tanda-tanda seperti bola mata yang besar, mata merah, bahagian hadapan mata menjadi tidak jernih, mata kerap berair and bayi akan kerap menangis kerana kesakitan mata.

 

S: Apakah gejala awal glaukoma?
J: Gejala awal bergantung kepada jenis glaukoma. Terdapat dua jenis glaukoma yang utama – glaukoma jenis “open-angle” dan “closed-angle”. Glaukoma jenis “open-angle” tidak mempunyai tanda-tanda awal. Sering kali, pesakit tidak mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit glaukoma sehingga penyakit mereka mencapai peringkat yang teruk, di mana pesakit akan mengalami simptom-simptom seperti kabur penglihatan, medan penglihatan yang semakin mengecil menyebabkan mereka sukar memandu dan asyik terlanggar objek di sekeliling mereka, dan akhirnya kebutaan kekal. Jenis “closed-angle” pula mempunyai banyak gejala-gejala awal seperti melihat warna pelangi di sekeliling sumber cahaya seperti lampu dan mentol, mata merah berserta sakit, kabur pengihatan secara tiba-tiba dan sakit kepala yang kuat sehingga merasa loya dan muntah.

 

S: Jika tiada gejala awal glaukoma, bagaimana saya boleh mengesan dengan lebih awal sama ada saya  menghidap glaukoma?
J: Jika anda mempunyai risiko-risiko seperti dinyatakan di atas, anda dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan mata di klinik mata berdekatan.

 

S: Adakah apa-apa pemakanan yang boleh mengelakkan glaukoma?
J: Tiada pemakanan spesifik yang didapati boleh mengelakkan atau menyembuh glaukoma. Pesakit diingatkan supaya mengamalkan diet pemakanan yang seimbang dan banyakkan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran.

 

S: Adakah ubat-ubatan seperti ubat titis Permata Hijrah dan “goji berries” yang banyak di pasaran boleh membantu glaukoma?
J: Anda dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang ubat titis mata tanpa nasihat doktor. Sesetengah ubat titis sediaan tradisional di pasaran mempunyai kandungan steroid yang boleh menerukkan lagi glaukoma dan menyebabkan kebutaan dalam jangka masa yang cepat. Tiada pengambilan suplemen makanan yang didapati boleh membantu penyakit glaukoma.

 

S: Jika saya disahkan menghidap glaukoma, berapa lama saya perlu mengambil ubat titis mata untuk penyakit ini? Adakah ianya seumur hidup atau sementara waktu sahaja?
J: Sekiranya anda disahkan menghidap glaukoma, ubat titis “anti-glaukoma” akan diberi untuk melindungi saraf mata. Penggunaan ubat titis “anti-glaukoma” adalah untuk seumur hidup. Anda perlu mendapatkan pemeriksaan mata susulan di klinik pakar mata dari semasa ke semasa untuk mengetahui tekanan mata serta tahap kesihatan saraf mata anda. Penghentian ubat “anti-glaukoma” tanpa kebenaran dari pakar mata boleh memudaratkan penyakit glaukoma anda.

 

S: Adakah saya perlu menjalani pembedahan jika menghidap glaukoma?
J: Rawatan awal penyakit glaukoma adalah dengan penggunaan ubat titis mata, yang bertujuan untuk menurunkan tekanan mata anda. Sekiranya glaukoma sukar dikawal dengan ubat titis, pakar mata akan menasihatkan anda untuk menjalani rawatan laser atau pembedahan.

 

S: Bolehkah saya melihat semula selepas pembedahan glaukoma?
J: Malangnya, kesan kerosakan kepada saraf mata adalah kekal. Penglihatan yang telah hilang tidak boleh dikembalikan semula. Oleh itu, adalah lebih baik untuk menjalani pemeriksaan mata awal jika anda mempunyai risiko supaya rawatan awal boleh diberikan untuk melindungi dan memperlahankan proses kerosakan saraf mata.

 

S: Jika saya menghidap glaukoma, adakah ianya akan diturunkan kepada anak saya?
J: Jika anda pesakit glaukoma, tidak semestinya anak anda akan menghidap penyakit yang sama. Glaukoma disebabkan oleh pelbagai faktor, seperti yang telah dibincangkan. Tetapi, risiko anak anda untuk menghidap glaukoma adalah lebih tinggi berbanding orang lain. Oleh yang demikian, anak-anak pesakit glaukoma disarankan supaya menjalani pemeriksaan saringan mata di klinik pakar mata dari semasa ke semasa.