Jabatan Oftalmologi Fakulti Perubatan

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Kesan Kencing Manis ke Atas Penglihatan

Oleh: Dr. Mushawiahti Mustapha, Dr. Aida Zairani Mohd Zahidin

 S: Apakah kesan diabetes terhadap mata dan penglihatan?

J: Diabetes yang tidak dikawal dengan baik boleh merosakkan seluruh struktur mata dan mnyebabkan ulser mata (luka yang dijangkiti kuman sehingga menjadi ulser), katarak (kanta mata menjadi keruh sehingga pandangan menjadi kabur), glaukoma (tekanan tinggi di dalam bebola mata) dan retinopati (kerosakan pada urat mata atau retina).

 

S: Bagaimanakah diabetes merosakkan retina/ lapisan urat mata?

J: Diabetes menyebabkan salur darah rosak dan darah menjadi pekat sehingga aliran darah di dalam badan menjadi sangat perlahan.  Kerosakan salur darah menyebabkan organ-organ penting di dalam badan mengalami masalah kekurangan bekalan oksigen. Pada organ mata, kekurangan bekalan oksigen menyebabkan kerosakan pada retina yang dikenali sebagai retinopati, iaitu penyakit pada retina.

Gambar kiri: keadaan retina yang sihat. Gambar kanan: pertumbuhan salur darah yang tidak sihat dan senang pecah. Rawatan laser atau injeksi ubat khas ke dalam mata dapat membantu pengecutan saluran darah yang tidak sihat ini dan mengelak kejadian kerosakan teruk di dalam mata.

 

S: Bagaimanakah cara untuk menjaga mata daripada kesan buruk diabetes?

Pesakit diabetes dinasihatkan supaya melakukan pemeriksaan saringan mata sebaik sahaja disahkan menghidap diabetes walaupun penglihatan masih baik. Jika mata masih dalam keadaan baik dan normal, saringan berkala harus dilakukan secara berterusan sekurang-kurangnya setahun sekali. Sebaliknya, jika keabnormalan awal dikesan lawatan berjumpa doktor mata perlu dilakukan dengan lebih kerap mengikut keadaan semasa pesakit agar doktor dapat bertindak awal untuk merawat sebarang komplikasi diabetes pada mata.

 

S: Apakah rawatan terkini untuk merawat komplikasi diabetes pada mata?

J: Rawatan yang diberi mengikut bahagian dan tahap kerosakan mata.  Saluran darah yang bocor pada pusat penglihatan (makula) boleh dirawat dengan suntikan ubat ke dalam mata  selama beberapa bulan. Adakalanya pula, rawatan laser akan dicadangkan. Manakala pembedahan mata akan dijalankan sekiranya rawatan laser atau suntikan didapati tidak sesuai.

 

S: Adakah rawatan laser mata berbahaya?

J: Terdapat beberapa jenis rawatan laser untuk mata. Rawatan laser untuk diabetes biasanya melibatkan pancaran laser pada bahagian retina yang tidak terlibat dengan pusat penglihatan. Ia dapat membantu mengawal pertumbuhan salur darah yang normal dan seterusnya menyebabkan salur-salur darah yang tidak sepatutnya wujud mengecut.

Gambar kiri: mata kiri yang sihat. Gambar kanan: rawatan laser yang diberikan pada urat mata (laser tidak diberikan pada pusat penglihatan). Rawatan laser terbukti dapat mengelakkan kebutaan dan kesan teruk kencing manis pada penglihatan.

 

S: Bolehkah pesakit diabetes menjalani pembedahan pemindahan mata selepas menjadi buta?

J: Pemindahan organ antara teknologi rawatan termoden abad ini.  Malangnya, hanya satu lapisan struktur mata yang boleh ditukar ganti iaitu kornea (lapisan terhadapan mata).  kini. Disebabkan diabetes menyebabkan kerosakan seluruh struktur mata, maka, pesakit diabetes yang menjadi buta tidak dapat menjalani pemindahan mata. Seatakat ini, kerosakan retina tidak dapat diganti dengan rawatan transplan.