You are currently viewing Majlis Pelancaran Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM (ALAF-UKM)

Majlis Pelancaran Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM (ALAF-UKM)

YBhg. Dato’ Dr. Syed Kamarudin Hj. Sadakkuthulla, Pendaftar UKM hadir di Pusat Penyelidikan Tasik Chini UKM bagi majlis pelancaran Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM (ALAF-UKM). Majlis ini telah disempurnakan dengan sesi pelancaran oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Mohd Ekhwan Hj Toriman pada 13 Mac 2023.

ALAF-UKM bakal menjadi pusat edu-pelancongan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat selain menjadi pusat penyelidikan dan pembelajaran.

ALAF-UKM merupakan hasil penstrukturan semula tadbir urus empat buah makmal alami iaitu Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Pusat Penyelidikan Bukit Fraser (PPBF), Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) dan Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR) beserta dua buah makmal fizikal iaitu Makmal Instrumentasi Berpusat UKM (i-CRIM) dan Makmal Bioserasi yang bertempat di UKM, Bangi.

Hadir sama ke majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi; Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Pengarah ALAF-UKM; Prof. Madya Dr. Wan Mohd Aizat Wan Kamaruddin dan Profesor Kehormat Fakulti Sains Teknologi; Prof. Dato’ Sri Dr. Mushrifah Idris.