Sambutan Maulidur Rasul UKM 2025
Hampir 3,000 warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berarak di sekitar kampus Bangi sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat UKM 1446H/2024M, hari ini.
Sambutan Maulidur Rasul diadakan bagi menyuburkan rasa cinta dan kasih kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan menzahirkan syiar Islam dengan tema Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan pada tahun ini “Membangun Ummah Madani”.
Perarakan itu dimulakan dari dataran Panggung Seni, Kolej Dato’ Onn, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Pusanika, Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Sains dan Teknologi, Kolej Ungku Omar, Institut Alam dan Tamadun Melayu dan berakhir di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).
Sepanjang meraikan hari kelahiran Rasulullah, Pusat Islam UKM telah mengaturkan beberapa program termasuklah Perarakan Maulidur Rasul, Pertandingan Poster Infografik, Pertandingan Tik Tok Maulidur Rasul, Pertandingan Hafazan, Pertandingan Tilawah Al-Quran, Pertandingan Khat, Pertandingan Nasyid, Kuliah Zuhur Cintakan Rasul, Tausiah Maulidur Rasul, Qasidah Maulidur Rasul, Ijtimak Ahli Sunnah wal Jamaah dan Sudut Maulidur Rasul di Pusat Tanggungjawab (PTj) dan kolej-kolej kediaman.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof Emeritus Dato’ Dr Mohamad Abd Razak dan Naib Canselor, Prof Dr Sufian Jusoh turut sama berarak dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Pertandingan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul bagi ketegori Kolej Kediaman dimenangi oleh Kolej Aminuddin Baki manakala bagi kategori PTj pula dimenangi oleh FSSK.
Pada majlis ini juga turut diadakan sesi penyampaian Anugerah Uswah Hasanah bagi empat kategori iaitu Abu Bakar As-Siddiq yang dimenangi oleh Prof Dr Azizan Ahmad, kategori Uthman Ibnu Affan dimenangi oleh Prof Ts Dr Faizal Mohamed, kategori Ali Ibu Abu Thalib pula dimenangi oleh saudara Muhammad Hakim Danial Samiun, manakala kategori Khadijak binti Khuwalid dimenangi oleh Ts Dr Nurhidayah Bahar.
Turut hadir Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar, Prof Ts Dr Norinsan Kamil Othman, menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Maulidur Rasul, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan pengurusan tertinggi UKM.


























