Program Pembersihan Pesisiran Pantai Kuala Sala

Program Pembersihan Pesisiran Pantai Kuala Sala yang berlangsung di Kuala Sala, Kedah pada 7 Februari 2026 telah berjaya menghimpunkan hampir 120 peserta terdiri daripada komuniti setempat, sukarelawan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil institusi pengajian tinggi. Program ini mencerminkan komitmen bersama pelbagai pihak dalam memperkukuh usaha pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian komuniti setempat.

Program anjuran Kursi Kelestarian UKM-YSD ini dimulakan dengan sesi advokasi dan kesedaran bagi meningkatkan tahap pengetahuan komuniti berkaitan perubahan iklim, pengurusan sisa, pencemaran plastik serta kepentingan pantai sebagai benteng semula jadi. Seterusnya, para peserta terlibat secara langsung dalam aktiviti pembersihan pesisiran pantai melalui pengumpulan sisa pepejal di kawasan pesisir, yang bertujuan melindungi ekosistem marin serta meningkatkan kesedaran terhadap impak pencemaran alam sekitar.

Program ini diakhiri dengan pelaksanaan aktiviti kitar semula yang menerima sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 302.4 kilogram sisa kitar semula berjaya dikumpulkan dan dijual kepada E-Idaman Sdn. Bhd., sekali gus menunjukkan potensi amalan ekonomi kitaran di peringkat komuniti. Program ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak, dihadiri oleh salah seorang Timbalan Pengarah Eksekutif (Kelestarian) Pusat Strategi UKM serta diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh YB Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, Ahli Parlimen Kuala Kedah. Secara keseluruhan, program ini membuktikan bahawa gabungan advokasi, tindakan dan amalan kitar semula berupaya membentuk komuniti yang lebih bertanggungjawab dan lestari, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan SDG 11, SDG 13 dan SDG 14.

Similar Posts