SDG Youth Forum bersempena kunjungan delegasi dari Tsinghua University, China

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan SDG Youth Forum bersempena kunjungan delegasi dari Tsinghua University, China pada 5 Februari 2026 sebagai satu inisiatif strategik berimpak tinggi bagi memperkukuh hubungan kerjasama akademik serta jaringan antarabangsa. Penganjuran forum ini melambangkan komitmen kukuh kedua-dua institusi dalam memacu agenda kelestarian global melalui penglibatan aktif pelajar dan generasi muda sebagai rakan strategik pembangunan mampan.

Forum ini berperanan sebagai platform perbincangan strategik yang menghimpunkan wakil institusi, warga akademik dan golongan belia bagi memperkaya wacana, perkongsian idea serta pertukaran pengalaman berkaitan isu daya tahan iklim, kelestarian dan cabaran perubahan iklim semasa. Melalui sumbangan pemikiran kritis, inovasi dan perspektif belia, forum ini menegaskan peranan penting generasi muda sebagai ejen perubahan yang berupaya merangka penyelesaian mampan, progresif dan berimpak sejajar dengan aspirasi serta agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Program dimulakan dengan sesi perkongsian oleh Prof. Madya Dr. Tanot Unjah dari LESTARI UKM yang membincangkan hubungan dinamik antara alam sekitar, perubahan yang berlaku serta peranannya dalam menyokong ekosistem pembangunan sesebuah negara secara lestari. Seterusnya, Miss Xinyan Zhao, pelajar Doktor Falsafah dari School of Environment, Tsinghua University, berkongsi pandangan berkenaan pendekatan pembangunan bandar mampan sebagai strategi utama dalam meningkatkan daya tahan bandar terhadap kesan perubahan iklim.

Sesi forum belia yang berlangsung seterusnya telah dimoderatorkan oleh Puan Norsyahira Saffiee dari UKM-YSD dan menampilkan panelis muda terdiri daripada Miss Lailatul Zayyani binti Awaludin, wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM), Encik Muhammad Ariful Ajib bin Wan Ariffin dari Environment and Green Energy of Malaysia Association (EniGMA UKM), serta Miss Xinyan Zhao dan Miss How Li Jia dari Tsinghua University. Perbincangan yang berlangsung secara interaktif ini menekankan kepentingan penglibatan belia dalam usaha adaptasi perubahan iklim, pembangunan kepimpinan serta pemerkasaan agenda pembangunan mampan di peringkat institusi dan global.

Secara keseluruhannya, penganjuran SDG Youth Forum ini mencerminkan komitmen berterusan UKM dalam memperkukuh jaringan kolaborasi antarabangsa, memperkasa suara dan peranan belia serta menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat, ke arah merealisasikan pembangunan mampan yang inklusif dan berdaya tahan di peringkat global.

Similar Posts