Kursus Kepimpinan dan Pembinaan Jati Diri Belia Madani di SAMURA
Kursus Kepimpinan dan Pembinaan Jati Diri Belia Madani telah dilaksanakan pada 16 hingga 18 Januari 2026 bertempat di Sekolah Menengah Sains Muar, Johor (SAMURA) dengan mengangkat tema “Membina Kepimpinan, Menyemai Keinsanan”.
Program ini merupakan anjuran Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Pendeta Za’ba (Kesukarelawan dan Kemasyarakatan) dengan kerjasama Kesatuan Mahasiswa UK (KMUKM) serta PIBG SAMURA. Penganjuran program ini memberi penekanan khusus kepada pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP), terutamanya pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Sains Muar, sebagai usaha berterusan dalam melahirkan pelajar yang cemerlang secara holistik, bukan sahaja dalam aspek akademik malah turut merangkumi kepimpinan, sahsiah dan penghayatan nilai-nilai Madani. Pelajar SBP, khususnya di SAMURA, merupakan kelompok berpotensi tinggi yang wajar diperkasakan melalui latihan kepimpinan terancang agar mampu dibentuk sebagai pemimpin muda yang berintegriti serta berkeupayaan menjadi teladan kepada komuniti sekolah dan rakan sebaya.
Kursus Kepimpinan dan Jati Diri Belia Madani 2026 ini dirangka secara sistematik bagi memperkukuh keupayaan belia melalui pendekatan pembangunan kepimpinan, pembentukan sahsiah serta pemupukan nilai keinsanan dan kemasyarakatan selaras dengan aspirasi negara, sekali gus meningkatkan peranan belia sebagai agen perubahan yang aktif dalam pembangunan komuniti. Kursus ini dirangka khusus bagi memperkasakan golongan belia melalui pendekatan kepimpinan berimpak tinggi, pembentukan sahsiah serta pengukuhan jati diri selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Selain itu, pelbagai slot aktiviti berkumpulan, ceramah serta Sesi Dialog Belia dilaksanakan dengan kerjasama pemimpin-pemimpin mahasiswa daripada Majlis Eksekutif Pelajar KPZ dan Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM).
Program ini turut diperkaya dengan sesi perkongsian santai bersama Pro Naib Canselor (Strategi & Kewatanan), Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan, yang juga merupakan Yang Dipertua PIBG SAMURA.

