PUSAT KAJIAN PEMBANGUNAN, SOSIAL & PERSEKITARAN

 Center for Research in Development, Social and Environment

SP at a Glance

Pengenalan

Masyarakat Malaysia sedang menuju ke arah negara maju menjelang tahun 2020. Pembangunan adalah intipati perubahan namun wawasan yang dicitrakan ini tidak akan tercapai seandainya pembangunan yang diingini hanya dilihat daripada sudut pembangunan ekonomi semata-mata. Pembangunan manusia dan masyarakat memerlukan pendekatan holistik dan merangkumkan pelbagai dimensi termasuk kajian kebudayaan. Graduan lepasan Program Sains Pembangunan dilengkapkan dengan kemahiran memahami pembangunan dalam konteks yang lebih meluas, menyeluruh dan mantap. Graduan lepasan Program Sains Pembangunan mendahului pesaing-pesaing lain dalam kerjaya di sektor awam dan swasta.  Pendedahan dan kemahiran yang secukupnya melalui Latihan Industri selama dua (2) bulan dalam sektor pekerjaan yang berkaitan dengan pembangunan memberi kelebihan kepada pelajar memahami dunia pekerjaan sebenar.  Graduan didedahkan kepada teori, isu dan metodologi pembangunan dan diberi latihan untuk mengaplikasi ilmu asas melalui kerja lapangan, tugasan dan kertas projek.

Program Sains Pembangunan telah ditubuhkan pada tahun 2001, ekoran penstrukturan semula program pengajian yang melibatkan tiga buah fakulti, iaitu Fakulti Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan, Fakulti Pengajian Bahasa dan Fakulti Sains Pembangunan.  Program ini menawarkan program-program akademik bagi sarjana muda, sarjana kerja kursus, sarjana falsafah dan doktor falsafah dalam disiplin sains pembangunan.

Program Sains Pembangunan mempunyai rekod pencapaian akademik yang lama, yang terhasil daripada komitmen ke arah kecemerlangan dalam pengajaran, dan penglibatan ahli dalam projek-projek penyelidikan yang mendapat pembiayaan dalam dan luar universiti. Sebelum kemasukan Program Sains Pembangunan ke dalam PPSPP melalui penstrukturan semula pada tahun 2001, Program Sains Pembangunan wujud sebagai sebuah fakulti bernama Fakulti Sains Pembangunan (FSP). Fakulti Sains Pembangunan ditubuhkan pada Jun 1984 dan memulakan program pengajiannya pada sesi 1985/86 di kampus Induk Bangi. Fakulti ini telah beroperasi di Kampus Sabah dari sesi 1990/91 sehingga tahun 1996. Fakulti ini tidak mempunyai struktur jabatan tetapi melaksanakan konsep program pengajian, iaitu, Program Pengajian Desa dan Bandar, Ekonomi dan Pengurusan, Geografi dan Perancangan Wilayah, dan Pendidikan Umum. Dalam tahun 1988, tiga orang sarjana dalam bidang kajian pembangunan telah dilantik untuk menilai semula FSP. Mereka terdiri daripada Profesor Hans-Dieter Evers, Profesor Ozay Mehmet dan Profesor Garth Cant. Pada Sesi Akademik 1995/96, FSP telah mewujudkan struktur baru yang mengandungi empat unit kajian  dan empat program pengajian. Unit kajian adalah Unit Kajian Desa dan Bandar, Reruang, Ekonomi dan Pengurusan, Antarabangsa dan Falsafah dan Peradaban. Program pengajian  terdiri daripada Program Pengajian Pembangunan Manusia, Pembangunan Wilayah, Pembangunan dan Pengurusan Am, dan Falsafah dan Peradaban.

Program Sains Pembangunan telah digabungkan di bawah FSSK untuk mencernakan isu pembangunan melalui pengajian yang merangkumi pembangunan masyarakat dan negara melalui penyusunan semula sektor desa dan bandar, pembangunan ekonomi dan pengurusan sumber dan institusi sektor awam dan swasta, pembangunan dan perancangan wilayah, pembangunan jentera dan institusi sosiopolitik dan pentadbiran dan pembentukan dasar-dasar awam yang melindungi kepentingan negara dan rakyat. Program Sains Pembangunan telah dinilai oleh Profesor Dr. Abdul Ghani Salleh dari Universiti Sains Malaysia.

Selain daripada menawarkan program-program pengajian, program ini juga menggunakan sumber-sumber kewangan yang ada bagi membangunkan bidang-bidang penyelidikan yang menjadi tulang belakang kecemerlangan akademik ahli-ahli program. Tahap pembangunan dan pencapaian program dapat dilihat berdasarkan senarai penerbitan dan penyelidikan yang dilakukan dari masa ke semasa oleh ahli program.

Graduan Program Sarjana muda Sains Pembangunan diharapkan memperoleh pengetahuan dan penguasaan kemahiran dalam memahami isu-isu pembangunan di peringkat nasional dan global serta mampu membuat keputusan. Graduan program ini juga diharapkan mempunyai sikap berdaya maju, bertanggungjawab dan beretika dalam merancang dan melaksanakan program pembangunan.  Nilai-nilai murni diterapkan melalui tugasan atau kerja kursus, termasuk penelitian di lapangan, penulisan dan pembentangan esei serta kertas projek.

Pengetahuan dan penguasaan kemahiran termasuk:

  • Pengetahuan mengenai pendekatan, konsep dan teori pembangunan.
  • Pengetahuan tentang isu-isu pembangunan di peringkat nasional dan antarabangsa.
  • Pendedahan kepada prinsip dan amalan pembangunan.
  • Pengetahuan dan kemahiran dalam menggunakan teknik-teknik pengurusan pembangunan.

Kurikulum Sains Pembangunan menyediakan satu asas yang kukuh dalam pengajian pembangunan selama tiga tahun pengajian. Kurikulum pengajian direka bentuk bagi meliputi semua aspek asas pengajian pembangunan, dengan keseimbangan antara teori  dan aplikasi serta pendedahan ilmu pembangunan dalam dunia realiti. Para pelajar Program Sains Pembangunan diwajibkan menjalani latihan industri selama lapan minggu di organisasi-organisasi terpilih semasa cuti akhir tahun kedua pengajian.