Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026

Tahniah Universiti Kebangsaan Malaysia!
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus membuktikan keunggulannya sebagai Universiti Kebangsaan yang bertaraf dunia apabila berjaya mencapai kedudukan terbaik dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026, berada dalam kelompok 301–350 terbaik dunia. Ini merupakan pencapaian tertinggi UKM sejak tahun 2016.
Namun begitu, peningkatan ini bukanlah matlamat utama, sebaliknya ia terhasil daripada usaha berterusan menjana ilmu, membina insan, dan memberi impak kepada pembangunan negara serta kesejahteraan masyarakat. Setiap peningkatan dalam penarafan global adalah pantulan kepada kualiti pencapaian universiti iaitu kemampuan UKM menjawab cabaran nasional dan global melalui ilmu yang berakar pada nilai dan identiti kebangsaan.
UKM akan terus memberi tumpuan kepada pemerkasaan bakat pelajar dan staf, pembangunan lestari, serta pemasyarakatan ilmu, agar hasil penyelidikan dan pendidikan dapat dirasai bukan sahaja di menara gading, tetapi juga di tengah masyarakat dari kampung hingga ke pentas antarabangsa.
Kejayaan ini akan memperkukuh tekad UKM untuk terus melangkah jauh, menjadikan warga UKM nadi penggerak ilmu, inovasi, dan kemanusiaan, serta meneruskan legasi sebagai universiti watan yang menjulang dunia. UKM akan terus memperkukuh jati diri kebangsaan sambil mencipta impak bermakna untuk masa depan yang mampan, inklusif, dan sejahtera.


