Bengkel CRISPR Gene Editing di Institute of Medical Research (IMR)
Ditulis oleh: Dr Saiful Effendi Syafruddin, Dr Mohamad Aimanuddin Mohtar
4 Julai 2022 – Dr Saiful Effendi Syafruddin dan Dr Mohamad Aimanuddin Mohtar telah dijemput untuk mengadakan bengkel CRISPR Gene Editing di Institute of Medical Research (IMR), National Institute of Health, Setia Alam, Selangor. Bengkel yang berlangsung selama empat hari ini (27-30 Jun 2022) dianjurkan oleh Unit Hematologi IMR, dan disampaikan sepenuhnya oleh Dr Fendi dan Dr Aiman. Seramai 34 peserta yang terdiri daripada saintis, penyelidik, dan doktor perubatan di IMR telah menyertai bengkel ini.
Tujuan utama bengkel ini dianjurkan adalah untuk memperkenalkan prinsip asas teknologi CRISPR Gene Editing dan aplikasi CRISPR dalam bidang penyelidikan biologi molekul dan perubatan kepada warga IMR. Juga, peserta bengkel diajar dengan komprehensif tentang kerangka kerja dan rekabentuk eksperimen berkaitan teknologi CRISPR Gene Editing. Ini merangkumi pembentukan persoalan kajian, pemilihan sistem CRISPR yang bersesuaian sehinggalah kepada proses validasi dan pencirian hasil pengeditan gen yang dijalankan. Selain itu, para peserta juga berpeluang mempelajari secara praktikal cara mereka bentuk guide RNA, teknik pengklonan guide RNA ke dalam CRISPR plasmid dan cara penghantaran plasmid ke dalam sel selanjar kanser. Selain itu, beberapa potensi kolaborasi penyelidikan melibatkan teknologi CRISPR turut dibincangkan.
Secara keseluruhannya, bengkel CRISPR Gene Editing ini telah berjaya mencapai matlamat penganjurannya. Kesemua peserta telah memberikan komitmen yang terbaik dalam setiap sesi kuliah dan praktikal di sepanjang bengkel 4 hari ini. Akhir sekali, maklum balas yang diberikan berkaitan oleh peserta berkaitan pengisian dan penganjuran bengkel CRISPR Gene Editing ini adalah amat baik dan membanggakan.
Gambar selanjutnya boleh dilihat di pautan ini – https://photos.app.goo.gl/jNWNpQ6oWEAtEcMf6