Penyaringan polimorfisme HLA-B*15:02 untuk pesakit epilepsi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM oleh UMBI
ditulis oleh: Nor Azian Abdul Murad & Zam Zureena Mohd Rani
Bidang farmakogenetik merupakan bidang yang mengkaji perbezaan genetik terhadap respon sesuatu ubatan (1). Epilepsi adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh gangguan neurologikal ataupun sistem saraf (2). Gangguan ini berlaku di bahagian otak yang seterusnya menyebabkan serangan sawan (2). Epilepsi melibatkan semua peringkat umur daripada kanak-kanak, remaja dan warga tua. Sawan pula berlaku disebabkan pelepasan elektrik dari otak secara berlebihan ke dalam sekumpulan sel-sel otak secara mengejut di dalam jangka masa yang amat pendek. Keadaan ini akan menyebabkan gangguan terhadap aktiviti normal saraf, kelenjar dan otot di bahagian sel otak yang terlibat (3). Rawatan bagi pesakit epilepsi adalah menggunakan ubat anti-epilepsi. Ubat ini digunakan hanya untuk mengawal sawan daripada berlaku dan sehingga kini, tiada ubat yang boleh menyembuhkan epilepsi sepenuhnya. Ubatan yang biasa digunakan di HCTM, UKM adalah Carbamazipine (CBZ). Walaubagaimanapun, individu yang mempunyai polimorfisme HLA-B*15:02 tidak boleh mengambil Carpamazipine kerana ia boleh menyebabkan berlakunya penyakit Steven Johnson Syndrome (SJS) dan juga Toxic Epidermal Necrolysis (TEN) (4). Kedua-dua penyakit ini menyebabkan alahan lepuh kulit yang memerlukan rawatan hospital dengan kadar segera dan boleh mengancam nyawa berdasarkan kepada peratus alahan lepuh kulit. Kadar insiden SJS dan TEN dianggarkan 0.4 – 1.2 kes setiap sejuta orang setahun (4,5).
Antigen Leukocyte Manusia (HLA) memainkan peranan penting dalam respon terhadap penyakit. Alel polimorfisme pada gen HLA kelas 1 ini dibahagikan kepada tiga iaitu HLA-A, HLA-B dan HLA-C. Pemetaan genetik rekombinan HLA-B*15:02 adalah pada gen HLA-B yang terdiri daripada 86 kb (6). US Food and Drug Administration (FDA) menyarankan agar penyaringan polimorfisme HLA-B*15:02 dilakukan keatas pesakit epilepsi sebelum rawatan CBZ diberikan. Ini kerana kadar polimorfisme HLA-B*15:02 adalah tinggi di negara Asia seperti di Thailand, Malaysia, China dan Hong Kong (6,7,8,9).
Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan bagi mengenalpasti polimorfisme HLA-B*15:02 seperti menggunakan kaedah Multiplex PCR, High Resolution Melting-Quantitative Polymerase Chain reaction (HRM-QPCR) dan Penjujukan DNA. Kaedah Sequence-based typing (SBT) juga boleh digunakan tetapi kit ini adalah sangat mahal untuk digunakan dalam set-up klinikal dan juga penyelidikan.
Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI) dengan kerjasama daripada Pusat Perubatan UKM-Hospital Cansoler Tuanku Muhriz (PPUKM-HCTM) melalui Unit Genomik PPUKM-UMBI telah menawarkan ujian polimorfisme HLA-B*15:02 sejak tahun 2009. Ujian ini telah mendapat persijilan MS:ISO 17025 pada 9 April 2015 dibawah skop asid nukleik. Di UMBI, kami melakukan penyaringan polimorfisme HLA-B*15:02 dengan menggunakan teknik HRM-QPCR dan keputusan disahkan dengan menggunakan Penjujukan DNA. Teknik HRM-QPCR menganalisa perubahan warna (fluorescence) pada produk PCR bagi mengenalpasti polimorfisme pada sesuatu gen. Polimorfisme dikenalpasti dengan memerhatikan perbezaan suhu leburan pada sampel DNA. Pesakit akan diterangkan mengenai prosedur asas yang akan dilakukan seperti pengambilan darah, penyimpanan sampel pesakit di dalam Biobank PPUKM-UMBI, proses amplifikasi gen HLA-B*15:02 dan penjujukan DNA. Pesakit perlu menandatangani borang keizinan pesakit dan seterusnya prosedur akan dilakukan. Sampel DNA akan diekstrak daripada darah pesakit dengan menggunakan teknik isolasi DNA menggunakan garam. Kemudian kualiti dan kuantiti DNA akan ditentukan dengan menggunakan spektrometri. Seterusnya, amplifikasi gen HLA-B*15:02 akan dilakukan menggunakan teknik HRM-QPCR bersama dengan kawalan positif dan negatif. Analisa polimorfisme HLA-B*15:02 pesakit epilepsi dilakukan oleh perisian daripada mesin QPCR itu sendiri. Penjujukan DNA dilakukan dengan menggunakan teknik Sanger bagi mengesahkan keputusan HRM-QPCR. Laporan ujian akan dikeluarkan kepada doktor atau pakar yang merawat pesakit. Jika pesakit mempunyai polimorfisme HLA-B*15:02, ubat anti-epilepsi Carbamazipine tidak boleh diberikan kepada pesakit. Carbamazipine akan digantikan dengan ubatan anti-epilepsi yang lain.
Diharapkan dengan penyaringan polimorfisme HLA-B*15:02 yang ditawarkan oleh UMBI, kejadian SJS dan TEN di kalangan pesakit epilepsi dan juga penyakit lain yang menggunakan rawatan Carbamazipine dapat dielakkan.
Rajah: Kakitangan UMBI melakukan penyaringaan polimorfisme HLA-B*15:02 dengan menggunakan teknik HRM-QPCR dan penjujukan DNA melalui kaedah Sanger.
Rujukan
- Walker LE, Mirza N, Yip VL, Marson AG, Pirmohamed M. Personalized medicine approaches in epilepsy. 2015. J Intern Med. 277(2):218-34.
- Jerome Engel, Jonathan Sinay, David Geffen, Timothy A. Pedley, Lucy Moses. Epilepsy: A Comprehensive Textbook. 2007. 2nd Edition: Volume 1. Wolters Kluwer/Lippincott Williams & Wilkins.
- de Curtis M and Avanzini G. Interictal spikes in focal epileptogenesis. Prog Neurobiol 63(5):541-67.
- Hung SI, Chung WH, Jee SH, et al. Genetic susceptibility to carbamazepine-induced cutaneous adverse drug reactions. 2006. Pharmacogenet Genomics. 16(4):297-306.
- Chouchi M et al. The HLA-B*15:02 polymorphismand Tegretol®-induced serious cutaneous reactions in epilepsy: An updated systematic review and meta-analysis. Rev Neurol (Paris). 174(5):278-291.
- Hung SI, Chung WH, Liou LB, Chu CC, Lin M, Huang HP, et al. HLAB*5801 allele as a genetic marker for severe cutaneous adverse reactions caused by allopurinol. Proc Natl Acad Sci USA 2005; 102:4134–4139.
- Chung WH, Hung SI, Hong HS, et al. Medical genetics: a marker for Stevens-Johnson syndrome. 2004. Nature.428(6982):486.
- Ferrell PB Jr. and McLeod HL. Carbamazepine, HLA-B*1502 and risk of Stevens-Johnson syndrome and toxic epidermal necrolysis: US FDA recommendations. 2008. Pharmacogenomics.9(10):1543-46.
- Locharernkul C, Loplumlert J, Limotai C, et al. Carbamazepine and phenytoin induced Stevens-Johnson syndrome is associated with HLA-B*1502 allele in Thai population. 2008. Epilepsia.49(12):2087-91.
- Tassaneeyakul W, Tiamkao S, Jantararoungtong T, et al. Association between HLA-B*1502 and carbamazepine-induced severe cutaneous adverse drug reactions in a Thai population. 2010. Epilepsia.51(5):926-30.