UKM Jalin Kerjasama Strategik dengan Universiti Azerbaijan State Oil and Industry University

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Pusat Strategi UKM, terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa menerusi pemeteraian Surat Hasrat (LoI) bersama Azerbaijan State Oil and Industry University (ASOIU) di Baku, Azerbaijan, hari ini.

LoI tersebut ditandatangani oleh Pro Naib Canselor (Strategi dan Kelestarian), Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan, yang mewakili UKM dan ASOIU diwakili oleh Rektornya, Rufat Azizov.

Pemeteraian LoI ini menjadi langkah awal dalam memperluas hubungan strategik antara kedua-dua universiti, khususnya dalam pembangunan aktiviti penyelidikan bersama, pertukaran dan mobiliti ahli akademik, pertukaran pelajar bagi tujuan penyelidikan dan pengajian, penyertaan dalam seminar serta pertemuan akademik, di samping penerokaan aktiviti lain yang memberi manfaat bersama.

Kerjasama ini turut membuka ruang kepada UKM dan ASOIU untuk membangunkan projek serta inisiatif bersama pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh perkongsian ilmu, kepakaran dan jaringan akademik antara Malaysia dan Azerbaijan.

Selain itu, ia juga mencerminkan komitmen UKM dalam memperluas jaringan global universiti serta membangunkan kerjasama antarabangsa yang strategik dan saling memberi manfaat dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan institusi.

Similar Posts