APEL UKM

 Universiti Kebangsaan Malaysia

SOALAN LAZIM APEL.A

Maklumat di dalam ruangan Soalan Lazim ini diekstrak daripada Laman Sesawang Rasmi APEL-MQA Soalan Lazim APEL.A. Jika terdapat sebarang perbezaan maklumat di antara maklumat soalan lazim pada laman sesawang ini dengan laman sesawang APEL-MQA, sila ikut maklumat daripada laman sesawang APEL-MQA.

No.SoalanJawapan
1.Apakah tujuan APEL.A? APEL.A didefinisikan sebagai satu proses sistematik yang melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu, seperti ilmu pengetahuan, kemahiran, dan sikap bagi menentukan tahap di mana seseorang individu telah mencapai hasil pembelajaran yang diinginkan, sebagai akses kepada sesuatu program pengajian dan/atau penganugerahan kredit.

APEL.A memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pelajaran di Pemberi Pengajian Tinggi (PPT). Secara umumnya, penilaian APEL.A melibatkan penilaian terhadap ilmu yang diperoleh oleh seseorang itu menerusi pendidikan formal mahupun menerusi pengalamannya terdahulu.
2.Bagaimana hendak memohon APEL? Permohonan dibuat secara dalam talian di https://www2.mqa.gov.my/apel_a/
3.Apakah kriteria permohonan APEL.A?

Program peringkat Ijazah Sarjana (APEL T-7)


Iaitu bagi kemasukan ke program Ijazah Sarjana, calon haruslah berumur 30 tahun mulai 1hb Januari pada tahun permohonan dan memiliki kelayakan STPM atau Diploma atau kelayakan-kelayakan lain yang diiktiraf setara dengannya serta mempunyai pengalaman yang bersesuaian

Program peringkat Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6)


Iaitu bagi kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda, calon haruslah berumur 21 tahun mulai 1hb Januari pada tahun permohonan dan memiliki pengalaman kerja yang berkaitan.

Program peringkat Diploma (APEL T-4)


Iaitu bagi kemasukan ke program Diploma, calon haruslah berumur 20 tahun mulai 1hb Januari pada tahun permohonan dan mempunyai pengalaman kerja yang berkaitan.

Program peringkat Sijil (APEL T-3)


Iaitu bagi kemasukan ke program Sijil, calon haruslah berumur 19 tahun mulai 1hb Januari pada tahun permohonan dan memiliki pengalaman kerja yang berkaitan.
4.Adakah sijil APEL.A setara dengan sijil program akademik di PPT?Pensijilan APEL hanya boleh digunakan oleh pemohon untuk tujuan melanjutkan pelajaran ke PPT. Ianya bukanlah penganugerahan kelayakan sepertimana program akademik di PPT. Sijil APEL juga tidak boleh digunakan untuk tujuan pekerjaan.

Contohnya: Sijil APEL bagi peringkat Sarjana (Tahap 7) hanya boleh digunakan untuk memohon kemasukan ke PPT bagi melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana. Ianya bukanlah penganugerahan bagi program Sarjana seperti yang dikeluarkan oleh PPT.
5.Berapakan jumlah program pengajian di UKM yang menawarkan syarat kemasukan menggunakan APEL.A?Sehingga sesi akademik 2022/2023, sejumlah 52 program pengajian peringkat Sarjana Muda (APEL T-6) yang menawarkan sijil APEL. A sebagai salah satu komponen syarat kemasukan. Untuk makluman, beberapa program pengajian yang melalui penilaian oleh badan profesional adalah tertakluk kepada syarat dan keperluan badan profesional tersebut.

Bagi permohonan Sarjana (APEL T-7), sebanyak 30 bidang yang ditawarkan seperti yang dipaparkan di pautan: Bidang APEL (Tahap 7).
6.Apakah mod pengajian yang dibenarkan kepada calon yang lulus penilaian APEL.A?Calon yang lulus penilaian APEL.A boleh melanjutkan pengajian secara sepenuh masa atau secara separuh masa.

Bagi sijil APEL.A peringkat Sarjana (APEL T-7), mod penawaran yang dibenarkan adalah seperti berikut:

  • Mod Kerja Kursus; dan,

  • Mod Campuran sahaja.
7.Berapakah jumlah fi / caj / bayaran bagi permohonan APEL.A?Pembayaran kepada Pusat Penilaian APEL (PPA) yang dipilih oleh pemohon:

  • Sijil (APEL T-3) = RM 240.00

  • Diploma (APEL T-4) = RM 240.00

  • Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6) = RM 370.00

  • Ijazah Sarjana (APEL T-7) = RM 560.00

(Berkuatkuasa pada 1 Januari 2024)
8.Adakah calon yang menjalani penilaian APEL.A di PPA hanya boleh melanjutkan pengajian di PPA tersebut sahaja?Calon yang telah memperoleh sijil APEL.A MQA boleh dipertimbangkan untuk melanjutkan pengajian di mana-mana PPT walaupun menjalani penilaian APEL.A di PPA yang dilantik oleh MQA.
9.Bilakah masa yang sesuai saya harus memohon APEL.A?Pemohon dinasihatkan untuk membuat permohonan APEL.A sekurang-kurangnya ENAM (6) bulan sebelum tarikh kemasukan ke institusi pengajian tinggi pilihan.
10.Adakah sijil APEL.A mempunyai tempoh sah laku?Tempoh sahlaku Sijil APEL. A adalah 5 tahun