FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Faculty of Islamic Studies

كلية الدراسات الإسلامية

Berita Semasa
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Bangi, 1 April 2026 – Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima kunjungan sekumpulan pelajar Ekonomi Islam dari Universitas Syiah Kuala (USK), Aceh menerusi satu Program Mobiliti Antarabangsa yang berlangsung selama 14 hari bermula awal April.

Ketibaan para pelajar disambut mesra oleh pensyarah FPI, Dr. Nurul Ilyana Muhd Adnan dan Prof Madya Dr. Nik Rahim Nik Abdul Ghani, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi tersebut. Para peserta dilihat teruja mengikuti program berkenaan yang membuka peluang pembelajaran merentas sempadan.

Sepanjang tempoh program di Pusat Kajian Syariah FPI, pelajar terlibat dalam pelbagai aktiviti akademik termasuk kuliah interaktif, perbincangan ilmiah serta lawatan ke beberapa institusi berkaitan. Selain itu, elemen pertukaran budaya turut menjadi pengisian penting dalam usaha memperluas pemahaman terhadap bidang Ekonomi Islam dalam konteks global.

Program ini turut memberi ruang kepada interaksi antara pelajar dan pensyarah UKM, sekali gus mengukuhkan jaringan ukhuwah serantau. Para peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah berpeluang berkongsi pandangan serta pengalaman dalam suasana pembelajaran yang dinamik.

Menurut salah seorang peserta, program tersebut bukan sekadar memberi manfaat akademik, tetapi turut membantu meningkatkan keyakinan diri serta pemahaman terhadap budaya luar dalam persekitaran antarabangsa.

Pihak penganjur berharap program mobiliti seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuh kerjasama antara UKM dan USK, di samping melahirkan generasi ilmuwan yang berfikiran global dan berteraskan nilai-nilai Islam.