FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Faculty of Islamic Studies

كلية الدراسات الإسلامية

Berita Semasa
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Banda Acheh, Indonesia: Universiti Kebangsaan Malaysia melalui program student exchange mobility telah menghantar seramai lima belas orang pelajar untuk menyertai Program Inbound di Program Studi Ekonomi Islam, Fakulti Ekonomi dan Bisnis, Universitas Syiah Kuala. Para pelajar tiba di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda pada 2 Mei 2026 dan disambut oleh pihak Program Pengajian Ekonomi Islam FEB USK.

Sebagai sebahagian daripada pengenalan budaya dan persekitaran akademik di Aceh, para peserta telah mengikuti aktiviti city tour di Banda Aceh pada hari berikutnya. Aktiviti ini bertujuan memperkenalkan situasi, keadaan serta perkembangan Banda Aceh pascatsunami kepada para pelajar.

Dalam program city tour tersebut, para pelajar telah melawat beberapa destinasi bersejarah dan keagamaan di Banda Aceh seperti Masjid Raya Baiturrahman, Museum Tsunami Aceh dan PLTD Apung yang menjadi saksi sejarah dahsyat tsunami Aceh pada tahun 2004. Aktiviti ini memberikan pengalaman pendidikan yang bermakna sekali gus mengeratkan hubungan budaya antara pelajar kedua-dua universiti.

Rangkaian aktiviti akademik secara rasmi dimulakan di FEB USK melalui majlis pembukaan Program yang dirasmikan oleh Timbalan Dekan Sumber Daya FEB USK, Murkhana. Dalam ucapannya, beliau menyampaikan penghargaan terhadap kerjasama akademik antara FEB USK dan UKM serta berharap program ini dapat memperkukuh kolaborasi antarabangsa dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Selepas majlis pembukaan, program diteruskan dengan kuliah tamu antarabangsa yang menampilkan Dr. Md Yazid bin Ahmad sebagai penceramah dengan topik “Pengurusan Harta Pusaka Muslim di Malaysia”. Kuliah tersebut turut dihadiri oleh pensyarah dan pelajar FEB USK yang menunjukkan minat tinggi dalam perbincangan berkaitan pengurusan harta pusaka dari perspektif undang-undang dan amalan di Malaysia.

Pada hari yang sama, rombongan pelajar dan pensyarah UKM bersama pensyarah dan pelajar Program Pengajian Ekonomi Islam FEB USK turut melaksanakan program khidmat masyarakat di Dayah Darul Hikmah Kajhu. Program khidmat masyarakat antarabangsa tersebut mengangkat tema “Akselerasi Kemandirian Ekonomi Dayah berasaskan Tadbir Urus dan Nilai Syariah.”

Program khidmat masyarakat itu disambut baik oleh pimpinan dayah, Drs. H. Soufyan M. Saleh bersama para guru dan santri. Melalui program ini, para peserta berkongsi pandangan mengenai pengukuhan tadbir urus institusi dayah, pembangunan ekonomi berasaskan syariah serta peluang meningkatkan kemandirian ekonomi institusi pendidikan Islam dalam era moden.

Pada hari berikutnya, program mobiliti diteruskan dengan kelas kolaboratif bagi kursus Pengurusan Zakat, Infak dan Wakaf. Kuliah tersebut dikendalikan bersama oleh pensyarah Program Pengajian Ekonomi Islam FEB USK, Dr. Ridwan Nurdin serta pensyarah dari Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM iaitu Dr. Nurul Ilyana Mudh Adnan dan Dr. Noor Lizza binti Mohamed Said.

Perbincangan dalam kelas tersebut merangkumi zakat produktif dan penawaran hibah dengan mengetengahkan kajian serta amalan yang berkembang di Malaysia dan Indonesia, khususnya di Aceh. Aktiviti kelas kolaboratif ini mendapat sambutan yang amat baik daripada pelajar Program Pengajian Ekonomi Islam FEB USK dan pelajar Fakulti Pengajian Islam UKM kerana memberikan perspektif rentas negara yang memperkaya pengalaman akademik para peserta.

Pada hari Rabu 5hb Mei 2026, rombongan pelajar UKM telah mengadakan lawatan ke Baitul Mal Aceh bagi mengikuti sesi perbincangan mengenai amalan pengurusan zakat di Aceh. Kuliah praktisi tersebut disampaikan oleh anggota komisioner Baitul Mal Aceh, Fahmi M. Nasir dengan diiringi oleh Ketua Bahagian Umum BMA, Didi Setiadi.

Melalui sesi tersebut, para pelajar memperoleh pemahaman mengenai tadbir urus zakat di Aceh, mekanisme kutipan dan pengagihan dana zakat serta peranan strategik Baitul Mal dalam menyokong kesejahteraan masyarakat dan pengukuhan ekonomi umat Islam.

Pada pagi Khamis, program diteruskan dengan Seminar Mobiliti Antarabangsa yang menampilkan pembentangan kertas kerja oleh pelajar UKM dan pelajar Program Pengajian Ekonomi Islam FEB USK. Dalam seminar tersebut, para peserta membentangkan pelbagai kajian berkaitan instrumen ekonomi Islam dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Seminar tersebut membawa tema “Sharia-based Socio-Economic Transformation in the Digital Era: Towards Sustainable Development Goals (SDGs).” Melalui tema ini, para peserta membincangkan pelbagai isu kontemporari berkaitan transformasi sosioekonomi berasaskan syariah dalam era digital termasuk peranan zakat, wakaf, kewangan sosial Islam dan inovasi ekonomi digital dalam menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Selain itu, para pelajar UKM turut berpeluang mengikuti sit-in class bagi kursus Pembangunan Perniagaan Islam di Program Studi Ekonomi Islam FEB USK. Kuliah tersebut dibimbing oleh pensyarah kursus, Teuku Muhammad Syahrizal yang menyampaikan bahan berkaitan adaptasi para usahawan di Aceh dalam mematuhi regulasi syariah Islam.

Perbincangan dalam kelas berlangsung secara interaktif apabila para pelajar diajak memahami bagaimana pelaksanaan syariah Islam mempengaruhi amalan perniagaan, strategi pemasaran serta operasi perniagaan di Aceh. Pengalaman ini menjadi salah satu pembelajaran yang menarik bagi pelajar UKM untuk memahami keunikan ekosistem ekonomi dan perniagaan syariah di Aceh.

Program Mobiliti ini secara rasmi ditutup pada Jumaat, 8 Mei 2026. Dalam majlis penutupan tersebut, Dr. Md Yazid bin Ahmad mewakili pensyarah UKM menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada FEB USK atas peluang yang diberikan kepada pelajar dan pensyarah UKM untuk menyertai keseluruhan rangkaian aktiviti program mobiliti tersebut.

Salah seorang pelajar Fakulti Pengajian Islam UKM, Luqman Muzzammil bin Roslan turut berkongsi pengalaman positif sepanjang mengikuti program inbound di Aceh. Menurut beliau, program ini memberikan pengalaman dan pengetahuan baharu berkaitan pelaksanaan syariah Islam di Aceh. Beliau juga amat kagum dengan budaya serta kehidupan masyarakat Aceh yang menjunjung tinggi nilai-nilai syariah Islam.

Selain itu, beliau berasa gembira dapat mengikuti kuliah bersama pelajar FEB USK serta berinteraksi secara langsung dengan para pensyarah yang sangat terbuka dan membantu dalam proses pembelajaran. Pengalaman tersebut dianggap berjaya mewujudkan suasana akademik yang mesra sekali gus mengeratkan hubungan antara pelajar kedua-dua universiti.

Dalam kesempatan yang sama, Koordinator Program Pengajian Ekonomi Islam FEB USK, Muhammad Haris Riyaldi berharap agar kerjasama antara Program Pengajian Ekonomi Islam FEB USK dan UKM dapat diteruskan pada masa hadapan. Beliau turut menyatakan harapan agar kolaborasi tersebut bukan sahaja tertumpu kepada program mobility pelajar, malah dapat diperluaskan melalui kerjasama penyelidikan dan penerbitan ilmiah bersama yang melibatkan pensyarah Program Studi Ekonomi Islam FEB USK dan Pusat Kajian Syariah FPI UKM.

Program student exchange inbound ini diharapkan dapat menjadi medium pertukaran ilmu pengetahuan, pengalaman akademik serta pengukuhan hubungan antara institusi pengajian tinggi serumpun dalam menyokong pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan pembangunan kolaborasi keilmuan Islam serta pencapaian SDGs di peringkat global.