
BANGI, 11 November – Dr. Ghazali Zainuddin dari Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam telah dilantik sebagai Penyelaras Pengajaran, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagi tempoh dua tahun bermula 11 November 2026 hingga 10 November 2028.
Pelantikan ini diharap dapat memperkukuh pengurusan dan penyelarasan pengajaran di peringkat fakulti, meningkatkan kualiti pelaksanaan akademik serta memacu kecemerlangan proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan.
Dekan dan seluruh warga Fakulti Pengajian Islam merakamkan ucapan tahniah kepada Dr. Ghazali Zainuddin atas pelantikan tersebut. Beliau diharapkan dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh komitmen dalam memastikan pengurusan pengajaran fakulti terus berjalan lancar dan berkesan.
Dalam pada itu, pihak fakulti turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ustaz Anwar Fakhri Omar dari Pusat Kajian Syariah atas segala khidmat bakti, komitmen dan sumbangan beliau sepanjang menjalankan tugas sebagai Penyelaras Pengajaran FPI UKM yang berakhir pada 10 November 2026.
Sumbangan beliau, khususnya dalam memastikan kelancaran urusan pengajaran dan memperkukuh pengurusan akademik fakulti, amat dihargai dan menjadi asas penting kepada kesinambungan kecemerlangan akademik FPI UKM.
Fakulti Pengajian Islam berharap pelantikan baharu ini dapat memberikan nilai tambah kepada pengurusan akademik serta memperkukuh kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran selaras dengan aspirasi UKM.