FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Faculty of Islamic Studies

كلية الدراسات الإسلامية

Berita Semasa
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

 

BANGI, 4 November – Dr. Mohd Manawi Mohd Akib dari Pusat Kajian Al-Quran dan Al-Sunnah telah dilantik sebagai Ketua Jaringan Industri dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagi tempoh dua tahun bermula 4 November 2026 hingga 3 November 2028.

Pelantikan ini diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara fakulti dengan pihak industri, agensi dan komuniti, selain memperluas peluang kolaborasi serta meningkatkan sumbangan kepakaran dalam bidang Pengajian Islam kepada masyarakat.

Dekan dan seluruh warga Fakulti Pengajian Islam merakamkan ucapan tahniah kepada Dr. Mohd Manawi Mohd Akib atas pelantikan tersebut. Beliau diharapkan dapat meneruskan usaha memperluas jaringan kerjasama serta memperkasakan peranan fakulti dalam menjalin hubungan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Dalam pada itu, pihak fakulti turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Azlin Alisa Ahmad dari Pusat Kajian Syariah atas segala khidmat bakti, komitmen dan sumbangan beliau sepanjang menjalankan amanah sebagai Ketua Jaringan Industri dan Komuniti FPI UKM yang berakhir pada 3 November 2026.

Segala usaha dan sumbangan beliau amat dihargai, khususnya dalam membangunkan serta memperkukuh jaringan kerjasama fakulti dengan pihak industri dan komuniti.

Fakulti Pengajian Islam berharap pelantikan baharu ini dapat menjadi pemangkin kepada kesinambungan dan pengukuhan hubungan strategik fakulti dengan pelbagai rakan kerjasama, sekali gus meningkatkan impak sumbangan universiti kepada masyarakat.