FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Faculty of Islamic Studies

كلية الدراسات الإسلامية

Berita Semasa
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Bangi, 4 Ogos 2025 – Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menerima kunjungan istimewa daripada delegasi Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Fattahul Muluk, Papua dan Universitas Islam Negeri (UIN) Jurai Siwo, Lampung, Indonesia, dalam satu program lawatan dan pelaksanaan program perkhidmatan pelajar yang berlangsung di Bilik Bitara, FPI.

Program sehari ini disertai oleh 11 orang pelajar dan 4 orang pensyarah, diketuai oleh Dr. Ade Yamin dan Prof. Dr. Mufliha Wijawati. Delegasi ini turut disertai oleh seorang wakil pensyarah dari UIN Jurai Siwo, Lampung. Kehadiran mereka disambut mesra oleh barisan pentadbiran FPI yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Ermy Azziaty Rozali, mewakili Dekan FPI, Prof. Madya Dr. Salmy Edawati Yaacob, bersama-sama dengan Dr. Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani serta beberapa pensyarah kanan fakulti.

Program ini bertujuan membina jaringan strategik antara ketiga-tiga institusi pengajian tinggi Islam melalui perbincangan kolaboratif melibatkan aspek penyelidikan, penerbitan ilmiah, khidmat masyarakat serta pelaksanaan program pembangunan pelajar di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.

Menurut Prof. Madya Dr. Ermy Azziaty, kerjasama seumpama ini bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, malah mampu memperkasakan lagi ekosistem pendidikan Islam serantau ke arah kecemerlangan global.

“FPI amat mengalu-alukan peluang kolaborasi seumpama ini dan berharap agar jalinan yang terbina hari ini akan membawa impak berpanjangan dalam aspek pembangunan ilmu, mobiliti akademik serta keterlibatan komuniti,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Sesi lawatan turut diserikan dengan taklimat fakulti, pembentangan program pelajar, dan lawatan sekitar kampus UKM. Para peserta juga diberi peluang bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman pengajian serta penglibatan dalam aktiviti khidmat masyarakat.

Program ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata sebagai simbolik permulaan kepada hubungan kerjasama akademik yang lebih erat pada masa hadapan.